KUALA LUMPUR, 28 FEB – Raja-raja Melayu berangkat meninggalkan Istana Negara dengan kenderaan rasmi masing-masing selepas berkenan menghadiri mesyuarat khas Majlis Raja-raja pagi ini di sini.
Antara yang dilihat keluar dari pintu utama istana adalah kenderaan yang membawa Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada pukul 1:03 tengah hari diikuti Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (1:05 tengah hari), Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (1:12 tengah hari) dan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 1:13 tengah hari.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dilihat meninggalkan Istana Negara pada pukul 3:35 petang, disusuli Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, satu minit kemudian.
Mesyuarat khas itu diadakan hari ini bagi membincangkan perkembangan politik semasa tanah air susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Isnin lepas sebelum beliau dilantik semula sebagai Perdana Menteri Interim.
Dalam pada itu, agensi berita Associated Press (AP) melaporkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengatakan bahawa Baginda akan membenarkan pemimpin parti mencalonkan perdana menteri, menolak seruan Mahathir untuk mengadakan pemilihan di parlimen dan menambahkan lagi kemelut politik negara.

Mahathir turut menerima tamparan selepas parti Bersatunya beralih arah dan mengatakan ia memutuskan mencalonkan presidennya, Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Mahathir semalam mengatakan Yang Di-Pertuan Agong akan membenarkan dewan rakyat di parlimen mengundi pada Isnin bagi memilih perdana menteri baharu dan pilihan raya mengejut akan diadakan jika tiada keputusan jelas. Namun speaker dewan rakyat hari ini menolak usaha Mahathir untuk mengadakan undian, mengatakan ia tidak mengikut prosedur betul dan melangkaui dekri rasmi daripada Agong.
Istana kemudiannya mengeluarkan dekri bahawa Yang Di-Pertuan Agong maklum keputusan speaker dewan dan mengesahkan bahawa Agong belum menemui calon dengan sokongan majoriti bagi membentuk sebuah kerajaan selepas menemu bual semua 222 ahli dewan rakyat, namun mengatakan Baginda akan ‘terus mencari satu penyelesaian yang bersesuaian dengan perlembagaan persekutuan.’
Istana kini akan memberikan pilihan kepada pemimpin parti untuk menamakan calon bagi jawatan tertinggi itu, katanya.
Mahathir berusaha membentuk sebuah kerajaan tanpa parti jika dipilih sebagai perdana menteri manakala Anwar Ibrahim yang sepatutnya menjadi penggantinya, turut bersaing untuk menjadi pemimpin, menghidupkan semula permusuhan dua dekad mereka.
Parti pakatan Anwar percaya beliau mempunyai jumlah penyokong terbesar semasa temu bual dengan Yang Di-Pertuan Agong dan seharusnya diberi peluang untuk membuktikan kepada Yang Di-Pertuan Agong bahawa beliau mampu meraih majoriti.
Namun calon ketiga muncul memecahkan persaingan kedua-duanya. Bersatu dalam kenyataan hari ini mengatakan 36 ahli dewan rakyat termasuk berpuluh-puluh yang belot dari parti Anwar, memutuskan untuk menyokong Presidennya, Muhyiddin Yassin dan menolak Mahathir, sebagai perdana menteri.
Langkah itu berpotensi menerima sokongan daripada UMNO dan parti Islam, PAS yang menguasai suku daripada kerusi parlimen dan menolak pelan kerajaan bersepadu Mahathir. Muhyiddin dilihat sebagai calon yang boleh diterima oleh mereka kerana beliau bersedia bekerjasama dengan UMNO.
Pakatan dipimpin Anwar pada masa ini merupakan komponen terbesar di dewan rakyat dengan menguasai 41 peratus kerusi, 20 peratus kekurangan majoriti mudah. – Bernama/AP