MADRID, 11 MEI – Pierre-Emerick Aubameyang berjaya meledak dua gol ketika Barcelona mengukuhkan kedudukan mereka di tempat kedua di La Liga kelmarin dengan kemenangan 3-1 di laman sendiri menentang Celta Vigo.
Tetapi kemenangan Barca dibayangi oleh kecederaan kepala yang teruk dialami pemain pertahanan Ronald Araujo, yang terpaksa dibawa menaiki ambulans pada minit ke-64 perlawanan.
Araujo diusung ke dalam ambulans di atas pengusung dengan memakai pendakap leher. Barcelona mengesahkan pemain berusia 23 tahun itu mengalami gegaran otak dan telah dibawa ke hospital untuk menjalani ujian lanjut.
Kecederaan Araujo berlaku selepas dia dan Gavi berlaga kepala ketika berusaha mendapatkan bola di udara.
Araujo tersandung selama beberapa saat sebelum jatuh ke padang dan Iago Aspas serta Eric Garcia yang risau terus memanggil pasukan perubatan dengan segera.
Pemain Uruguay itu menerima rawatan dan selepas beberapa minit, dia diangkat ke dalam ambulans yang telah memandu ke padang.
Aubameyang menjaringkan dua gol di kedua-dua separuh masa selepas Memphis Depay membuka jaringan di Camp Nou. Celta berjaya mendapatkan satu gol menerusi Aspas tetapi harapan untuk bangkit musnah apabila Jeison Murillo dibuang padang sejurus sebelum sejam waktu perlawanan.
Barca kini berada tujuh mata di hadapan Sevilla dan lapan di hadapan Atletico Madrid, dengan Sevilla dan Atletico akan bertemu di Wanda Metropolitano pada Ahad nanti. – AFP
