Saturday, May 10, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemenangan beri sinar harapan buat Napoli

    ROM, 10 MAC – Napoli kembali menghidupkan harapan mereka untuk merangkul kejuaraan Serie A dengan kemenangan 2-1 ke atas Fiorentina semalam, sekali gus menamatkan rentetan lima perlawanan tanpa kemenangan, sementara Atalanta membelasah Juventus 4-0 untuk kekal dalam persaingan.

    Romelu Lukaku membuka jaringan untuk Napoli pada minit ke-26 sebelum Giacomo Raspadori menggandakan kelebihan pada minit ke-60, namun Albert Gudmundsson merapatkan jurang buat Fiorentina.

    Skuad kendalian Antonio Conte kini hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Inter Milan, yang bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Monza 3-2 pada Sabtu.

    Napoli, yang menjuarai Serie A dua tahun lalu, berada di puncak liga pada akhir Januari tetapi terpaksa mengejar Inter selepas hanya mengutip empat mata dalam lima perlawanan sebelum menewaskan Fiorentina di Stadio Diego Armando Maradona.

    Sementara itu, Atalanta membenam Juventus 4-0 di Turin untuk kekal tiga mata di belakang Inter dan menamatkan rentetan lima kemenangan berturut-turut pasukan tuan rumah. Ia merupakan kekalahan kedua musim ini bagi pasukan bimbingan Thiago Motta.

    Mateo Retegui menjaringkan gol ke-22 musim ini menerusi sepakan penalti, selepas bola terkena tangan pemain lawan pada separuh masa pertama. Marten de Roon menambah gol kedua sejurus selepas rehat, sebelum Davide Zappacosta dan Ademola Lookman melengkapkan kemenangan bergaya buat Atalanta.

    “Ia satu keputusan yang tidak dijangka oleh ramai orang, tetapi ia adalah persembahan sempurna daripada kami,” kata jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini, kepada DAZN.

    “Orang perlu bermimpi. Kita tidak boleh menghalang mereka daripada bermimpi. Mungkin nampak mustahil, tetapi jika kita percaya, segalanya boleh menjadi kenyataan.” – AFP

    Aksi Giacomo Raspadori, menjaringkan gol kedua pasukannya di Stadium Diego Armando Maradona, Naples, semalam. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda