Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemenangan kita tertulis di langit – Guardiola

    ISTANBUL, 11 JUN – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata, gelaran sulung Liga Juara-Juara pasukannya ‘tertulis di langit’ selepas kemenangan terakhir mereka ke atas Inter Milan hari ini.

    Gol pada minit ke-68 Rodri terbukti cukup untuk City akhirnya meraih trofi terbesar bola sepak kelab, walaupun mereka perlu bergantung pada nasib baik apabila Inter gagal memanfaatkan beberapa peluang pada separuh masa kedua.

    “Sangat sukar untuk memenanginya,” kata Guardiola kepada BT Sport selepas kemenangan 1-0 yang tegang itu.

    “Para pemain sangat hebat. Bersabarlah, saya kata pada separuh masa. Awda perlu jadi bertuah. (Penjaga gol) Ederson atau mereka gagal memanfaatkannya, mereka boleh seri.

    Pertandingan ini adalah seperti sebuah syiling.

    “Ia telah tertulis di langit. Ia milik kita.”

    Guardiola menjulang trofi selepas pasukannya memenangi perlawanan akhir Liga Juara-juara menentang Inter Milan, kelmarin. – AP

    Guardiola kini telah memenangi trofi itu sebanyak tiga kali sebagai jurulatih selepas kejayaannya sebelum ini bersama Barcelona pada 2009 dan 2011.

    Kemenangan City juga mengesahkan treble berikutan kejayaan Liga Perdana dan Piala FA mereka musim ini.

    “Selepas Piala Dunia, pasukan membuat kemajuan dan kami berada di sana,” tambah Guardiola, yang pasukannya melengkapkan kempen dengan hanya satu kekalahan dalam 28 perlawanan terakhir mereka.

    “Kami akan meraikan di hotel bersama keluarga dan rakan-rakan. Isnin perarakan di Manchester. Dalam pertandingan ini, treble sangat sukar.”

    Beliau merupakan jurulatih kedua yang memimpin kelab Inggeris untuk meraih treble tersebut, mengikut jejak Sir Alex Ferguson.

    “Adalah satu penghormatan bagi saya untuk bersama Sir Alex Ferguson dalam situasi itu,” katanya kepada pemberita.

    “Saya perlu katakan saya mendapat mesej daripadanya pagi ini di telefon saya yang membuatkan saya sangat terharu. Ia adalah satu penghormatan untuk saya bersamanya. Ia sangat bagus.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda