Kemenangan Kyrgios ceriakan Australia

MELBOURNE, 21 JAN – Pemain Australia, Nick Kyrgios melupakan seketika tragedi kebakaran hutan di negaranya dan memberikan penyokong tuan rumah keceriaan selepas menang pusingan pertama Terbuka Australia, hari ini.

Sentiasa dibayangi sikap panas baran di gelanggang, pemain berusia 24 tahun itu memenangi hati penyokong dengan sokongan bagi memindahkan mangsa kebakaran dan dia disambut dengan sorakan di Melbourne Arena.

Dia cemerlang di sana apabila menundukkan pemain Itali, Lorenzo Sonego 6-2, 7-6 (7/3), 7-6 (7/1).

“Saya sangat teruja untuk keluar ke sana. Jelas ia agak emosi buat kami sejak beberapa bulan lalu, jadi saya hanya mahu bermain dan menampilkan persembahan bagus,” katanya yang tidak pernah mara ke kelompok lapan terbaik kejohanan utama.

“Ini adalah gelanggang kesukaan saya di seluruh dunia… saya rasa sangat selesa. Anda adalah yang terbaik. Saya dapat merasai sokongan itu.”

Aksi Kyrgios ketika membalas pukulan kepada pemain Itali, Lorenzo Sonego semasa perlawanan mereka di Terbuka Australia di Melbourne, kelmarin. – AP

Kyrgios berkata sebelum kejohanan bahawa dia sukar memberi tumpuan di Grand Slam laman sendiri ketika emosinya terganggu akibat tragedi besar di Australia itu.

Sementara itu bekas juara, Maria Sharapova pula terkandas pada pusingan pertama Terbuka Australia selepas tewas kepada pemain Croatia, Donna Vekic 3-6, 4-6 di Rod Laver Arena, hari ini.

Pemain Rusia berusia 32 tahun itu tampak masih bergelut dengan kecederaan bahu yang menjejaskan penampilan kompetitif pertamanya sejak tewas pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu.

Donna yang juga pilihan ke-19 jelas menguasai gelanggang berbanding juara 2008 itu apabila mendahului 5-1 pada set pertama sebelum bekas pemain nombor satu dunia itu kembali menemui rentak.

Maria memaksa Donna bekerja keras untuk menamatkan perlawanan dan mendahului 4-1 pada set kedua tetapi gagal mengekalkan momentum apabila tewas lima ‘game’ terakhir. – AFP