MADRID, 30 APRIL – Unai Emery memenangi perlawanan besar apabila bertemu kembali dengan bekas kelabnya, Arsenal 2-1, memberikan kelebihan kepada Villarreal meski gagal memanfaatkan peluang setelah Dani Ceballos dibuang padang dalam perlawanan pertama separuh akhir Liga Europa semalam.
Manu Trigueros dan Raul Albiol membantu Villarreal di La Ceramica ketika Arsenal beraksi dengan 10 pemain setelah Ceballos dilayangkan kad kuning kedua pada awal separuh masa kedua.
Tetapi 10 pemain Arsenal berjaya menemukan jaringan menerusi sepakan penalti oleh Nicolas Pepe pada minit ke-73, sebelum pemain Villarreal, Etienne Capoue juga dilayangkan kad merah dengan baki 10 minit perlawanan.
Pierre-Emerick Aubameyang hampir berjaya menyamakan kedudukan di minit-minit akhir perlawanan tetapi Mikel Arteta lega kerana pasukannya masih dalam kedudukan yang baik, dengan membawa satu gol di tempat lawan untuk perlawanan pusingan kedua di London minggu depan.
“Ia berubah sama sekali. Ini membuat perbezaan besar,” kata Arteta.

“Kami tahu kami ada di sana, kami harus menjadi lebih baik dan jika ada, kami akan berpeluang berada di final.”
Bagi Villarreal walaupun gagal memanfaatkan peluang tetapi Emery merasa lega kerana mereka adalah pasukan yang lebih baik semalam, bahkan sebelum Ceballos dibuang padang.
“Segala-galanya berjalan dengan baik untuk kita dan kita harus terus percaya, itu adalah cabaran yang sukar. Tetapi dengan semua yang ada, kami telah menang, kami mempunyai kelebihan,” kata Emery.
Emery mengatakan Arsenal akan selalu ‘ada tempat di hatinya’ walaupun 18 bulan bergelut semasa beliau mengendalikan kelab itu sebelum dipecat pada tahun 2019.
Arteta sekarang berada di bawah tekanan untuk memenangi Liga Europa dan layak ke Liga Juara-Juara, dengan Arsenal menduduki tempat ke-10 di Liga Perdana Inggeris (EPL). – AFP