Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Pasukan Kebangsaan Futsal Brunei Darussalam mengalami kekalahan ketiga berturut-turut tanpa jaringan dalam Kejohanan Futsal AFF 2017 malam kelmarin setelah kecundang 0-18 di tangan tuan rumah, Vietnam.
Skuad Tabuan berupaya menyekat jaringan Vietnam kepada tujuh gol sahaja pada separuh masa pertama hasil beberapa penyelamatan menakjubkan dua penjaga gol negara, Haji Mohd Nabil dan Husin yang bergilir-gilir mengawal gawang.
Namun serangan bertali arus dan percubaan berterusan dari pemain Vietnam pada babak kedua berupaya membolosi gawang pasukan negara sebanyak sebelas kali termasuk gol ke-18 dan terakhir sesaat sebelum wisel penamat ditiup pengadil.
Ketua Jurulatih Futsal Brunei Darussalam, Haji Mohd Yunos bin Haji Mohd Yusof ketika dihubungi Media Permata menjelaskan pasukan Vietnam yang ingin mendapatkan kedudukan teratas Kumpulan A supaya tidak bertemu Thailand di separuh akhir memaksa pasukan negara untuk bekerja keras dan terpaksa berputih mata dengan keputusan diluar jangkaan itu.
Menurutnya, separuh masa pertama dengan jaringan 7-0, mereka cuba untuk memperbaiki kesilapan di separuh masa kedua tetapi kehebatan pasukan tuan rumah nampaknya tidak boleh dipertikaikan setelah mendominasi dengan mutu permainan tinggi sehingga berupaya memecahkan taktik bertahan pasukan negara dengan penghasilan 11 gol.
Pasukan Vietnam juga ternyata tidak memberi ruang dan peluang kepada pemain negara untuk mengatur permainan dan menyerang ke gawang mereka, tambahnya.
Brunei Darussalam berpeluang untuk memecahkan kebuntuan jaringan dan sekurang-kurangnya pulang membawa tiga mata apabila bertemu dengan sebuah lagi pasukan yang turut tewas ketiga-tiga perlawanan awalnya iaitu Filipina pada esok hari.
Filipina turut gagal menghasilkan sebarang gol setakat ini dan berada di tangga tercorot Kumpulan A selepas dibolosi sebanyak 70 kali berbanding 40 kali yang dialami Brunei Darussalam. Filipina tewas 0-21 kepada Indonesia, 0-24 kepada Vietnam dan 0-25 kepada Myanmar.