LONDON, 30 DIS – Arsenal mengurangkan tekanan terhadap pengurus, Mikel Arteta menerusi kemenangan 1-0 di Brighton sebentar tadi ketika saingan Liga Perdana mencetuskan keraguan selepas merekodkan 18 kes positif COVID-19 dalam kalangan pemain dan kakitangan.
Selepas kunjungan Manchester City ke Everton semalam ditunda kerana penularan dalam kalangan skuad Pep Guardiola, semua lima perlawanan dijadualkan hari ini berlangsung walaupun ada masalah buat Sheffield United dan Southampton.
Pasukan terbawah liga itu mendedahkan mereka mencatatkan beberapa kes positif COVID-19 namun masih boleh menurunkan 18 pemain dalam skuad yang tewas 1-0 kepada Burnley.
Arsenal mengurangkan kebimbangan mereka akan ditarik ke zon penyingkiran dengan kemenangan 3-1 mengatasi Chelsea Sabtu lalu kini boleh kembali mendaki kedudukan liga hasil kemenangan kedua berturut-turut buat pertama kali sejak awal musim.
“Ubat terbaik ialah kemenangan. Apabila anda menang ia cerita berbeza dan gambarannya tampak berbeza ketika ini,” kata Arteta.
Pierre-Emerick Aubameyang kembali daripada kecederaan bagi menggantikan Alexandre Lacazette yang juga satu-satunya perubahan dilakukan Arteta.
Namun Lacazette masuk daripada bangku pemain simpanan dan terus mendatangkan impak apabila meledak ke penjuru gawang hasil hantaran Bukayo Saka 21 saat selepas dimasukkan.
Kemenangan membawa Gunners ke kedudukan ke-13, ketinggalan tujuh mata daripada kelompok empat teratas. – AFP
