Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Kementerian Kesihatan akan melaksanakan tiga projek Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-11 yang dibawa ke hadapan dengan harga rancangan sejumlah $185,688,000 dan di bawah RKN ke-12, empat projek infrastruktur baharu dirancang dengan harga rancangan berjumlah $133,345,000.
Dengan harga rancangan sejumlah $319,033,000 berkenaan, sejumlah $48,171,000 diperuntukkan dalam tahun kewangan 2024/2025.
Projek-projek berkenaan dirancang untuk meningkatkan kedayatahanan sistem kesihatan di negara ini.
Salah satunya bagi keperluan persiapan awal bagi kerja-kerja pembinaan blok baharu di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang sedang giat dilaksanakan. Projek berkenaan telah diluluskan dalam RKN ke-11.
Blok baharu berkenaan akan memberikan tambahan sebanyak 500 buah katil dan lebih banyak ruang rawatan bagi perkhidmatan-perkhidmatan kepakaran.

Perkara berkenaan telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa pembentangan peruntukan Kementerian Kesihatan pada hari ke-15 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, kelmarin.
Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa pembinaan bangunan perkhidmatan kecemasan Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait juga akan dilaksanakan tidak lama lagi. Projek berkenaan asalnya diperuntukkan di bawah RKN ke-11 dengan penambahan harga rancangan daripada $2.2 juta kepada $3.18 juta.
Selain itu, projek lain yang telah dirancang oleh Kementerian Kesihatan, jelas Yang Berhormat lagi, menjurus kepada projek bagi penggantian sistem BruHIMS yang ada sekarang kepada sistem yang terkini iaitu BruHIMS 2.0, yang mampu menyediakan analitik bagi tujuan rawatan yang lebih komprehensif, lengkap dan dapat mendukung sistem kecerdasan buatan (AI).
“Sistem ini merupakan penaiktarafan daripada pelbagai aspek dengan mempunyai ciri-ciri baharu seperti pengintegrasian dengan sistem-sistem bukan kesihatan di seluruh negara; Intelligent Electronic Medical Record (EMR), Intelligent Care Plan dan Clinical Pathway yang memudahkan penilaian risiko kesihatan, meramalkan diagnosis dan pembentukan pelan penjagaan peribadi, di samping pengumpulan data dengan lebih berstruktur dan berkualiti.
“Modul Critical Care Information System (CCIS) khusus bagi perkhidmatan Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam pengurusan dan pemantauan pesakit kritikal dengan tepat dan berkesan; pengintegrasian dengan aplikasi mudah alih BruHealth supaya aplikasi tersebut akan dapat dimanfaatkan dengan lebih baik oleh pengguna; dan mampu untuk dilaratkan ke hospital dan klinik swasta bagi memastikan arah tuju 1 Patient 1 Record dapat dicapai,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Bagi projek-projek di bawah RKN ke-12 ialah pembinaan sebuah blok baharu bagi pembedahan dan sebuah Pusat Rehabilitasi bagi Dewasa dan Kanak-kanak di Hospital SSB.
Blok baharu tersebut akan menjadikan pengendalian kes-kes kecemasan yang memerlukan pembedahan segera lebih efisien dan teratur; pemberian penjagaan kesihatan yang lebih efektif dan berkualiti; dan menjamin keselamatan pesakit (patient safety).
Manakala itu, Pusat Rehabilitasi bagi Dewasa dan Kanak-kanak pula akan membolehkan pemberian perkhidmatan pemulihan yang komprehensif dan holistik melalui pengumpulan kepakaran dalam pelbagai bidang ke arah meningkatkan tahap kualiti kehidupan pesakit-pesakit dewasa dan kanak-kanak berkenaan.
Tambahnya, dua projek lain pula bertujuan bagi memastikan liputan penjagaan kesihatan asasi di negara ini kekal diberikan melalui Liputan Kesihatan Sejagat.

