Saturday, February 8, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kementerian Kesihatan bantu ringan beban pesakit

    Oleh Sim Y. H. & Daniel Lim –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Kebajikan para pesakit yang kurang berkemampuan terus diberikan keutamaan dan perhatian oleh Kementerian Kesihatan yang me-ngadakan lawatan ke rumah-rumah pesakit kurang berkemampuan bagi menyampaikan sumbangan derma, barang keperluan asasi dan peralatan perubatan kepada pesakit serta keluarga yang dikenal pasti serta berdaftar di Bahagian Kebajikan Perubatan di keempat-empat daerah, hari ini.

    Pada tahun ini, seramai 16 orang pesakit dan keluarga yang berdaftar di bawah Perkhidmatan Kebajikan Perubatan telah dikenal pasti bagi tujuan lawatan berkenaan.

    Rombongan lawatan berkenaan telah dibahagikan kepada empat kumpulan, masing-masing untuk setiap daerah.

    Rombongan lawatan kumpulan pertama di Daerah Brunei dan Muara diketuai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar telah melawat lima orang pesakit.

    Di Daerah Belait, rombongan diketuai oleh Setiausaha Tetap, Haji Maswadi bin Haji Mohsin yang melawat empat orang pesakit, rombongan di Daerah Tutong diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Ang Swee Hui yang melawat lima orang pesakit manakala itu, rombongan di Daerah Temburong diketuai oleh Pemangku Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif melawat dua orang pesakit.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan sumbangan kepada ahli keluarga seorang penerima pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H
    Antara barang keperluan yang disumbangkan kepada pesakit kurang berkemampuan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Sebelum lawatan dimulakan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dalam ucapan ringkasnya menyatakan perasa-an syukur kerana mereka dapat berkumpul untuk melaksanakan projek MoH Prihatin serta menyatakan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan acara penuh berkebajikan itu.

    Beliau menerangkan bahawa projek itu merupakan projek tahunan yang dianjurkan untuk menolong pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan dan yang memerlukan bantuan.

    Yang Berhormat Dato turut menyatakan harapan melalui usaha mereka itu, ia akan dapat membantu para pesakit yang memerlukan bantuan khususnya di bulan Ramadan yang mulia ini.

    Ibu kepada salah seorang pene-rima sumbangan, Dayang Norzanah Rosli menyatakan perasaan amat bersyukur dan menghargai sumba-ngan yang dihulurkan kepada mereka daripada Kementerian Kesihatan di mana sumbangan itu setentunya akan membantu mengurangkan bebanan mereka.

    Projek MoH Prihatin merupakan salah satu aktiviti kebajikan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Pentadbiran dan Kewangan dan Perkhidmatan Kebajikan Perubatan bagi menyerahkan sumbangan yang terkumpul daripada Tabung Bantuan Amal Pesakit Perkhidmatan Kebajikan Perubatan yang diperoleh daripada sumbangan ikhlas daripada warga kementerian, persatuan-persatuan bukan kerajaan, pihak swasta dan orang-orang persendirian.

    Projek berkenaan turut di-sokong oleh ketua-ketua jabatan di Kementerian Kesihatan, para pegawai kanan, pegawai perubatan, jururawat, kakitangan hospital, wakil-wakil dari Persatuan Pakar Kesihatan Bersekutu, Cardiac Society Brunei Darussalam, Brunei Medical Association, Brunei Darussalam Association of Medical Laboratory Scientists (BAMLS) dan RIPASH Doctor’s Mess serta sumbangan persendirian daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda