Kementerian Kesihatan, WHO kongsi maklumat tangani COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Dalam Mesyuarat Virtual Menteri-menteri Kesihatan di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Rantau Pasifik Barat, Kementerian Kesihatan dan WHO bersama negara-negara lain yang terlibat telah mengongsikan apa yang dibuat oleh setiap negara dan kaedah mereka dalam menangani penularan wabak COVID-19.

“Di sana, apa-apa yang perlu diambil untuk memperbaiki, maka kita akan ambil (terapkan),” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Selain itu juga, menurut beliau, terdapat saranan daripada WHO dalam bagaimana menangani penularan wabak khas bagi kumpulan rantau ini, kerana mereka mempunyai maklumat memandangkan mereka dapat melihat gambaran yang lebih besar seluruh rantau.

“Oleh yang demikian, mereka dapat menasihati mana-mana yang perlu diperbaiki.

Secara amnya, mereka (WHO) agak gembira dengan kebanyakan negara,” katanya.
Menurut Yang Berhormat Dato, apa yang penting adalah keupayaan ujian dan persediaan barisan hadapan terutama sekali dalam persediaan PPE dan sebagainya.