Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Pada masa ini, terdapat dua kategori utama bagi perkhidmatan lawatan ke rumah-rumah yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan iaitu Home Based Nursing dan Home Nursing.
Home Based Nursing (HBN) diberikan kepada rakyat dan penduduk tetap yang memenuhi beberapa kriteria tertentu seperti mereka yang bed bound atau disahkan house bound oleh profesional kesihatan serta yang memerlukan penjagaan kesihatan secara berkala di peringkat komuniti.
Sementara itu, Home Nursing adalah lawatan ke rumah-rumah khusus bagi kesemua ibu yang baru didiscaj dari postnatal wards di mana tujuan lawatan adalah untuk memastikan ibu dan anak damit yang baru didiscaj dalam keadaan yang sihat dan selamat.
Penjelasan itu dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam mengenai usaha Kementerian Kesihatan dalam memperluaskan perkhidmatan penjagaan ke rumah dan penjagaan pesakit wad semasa Persidangan MMN ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat Dato menerangkan perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan diberikan oleh jururawat yang terlatih berdasarkan prosedur operasi standard yang tertentu di mana jika terdapat keperluan tambahan, jururawat berkenaan akan bekerjasama dengan doktor dan profesional kesihatan bersekutu yang berkenaan termasuk pekerja sosial perubatan dalam usaha memberikan perkhidmatan yang berkualiti serta pada yang sama, khusus kepada keperluan pesakit itu dengan perkhidmatan berkenaan diberikan secara percuma.

Kebelakangan ini, jelasnya, terdapat jua perkhidmatan jururawat swasta yang mengendalikan penjagaan pesakit di rumah untuk membantu keluarga mengendalikan pesakit dan boleh meringankan beban keluarga yang telah menjaga sepanjang hari serta mengurangkan risiko carer fatigue.
“Perkhidmatan ini lazimnya dikenakan caj dengan kadar yang sedikit tinggi mengambil kira sebahagiannya adalah jururawat terlatih dan tanpa banyak saingan dalam penyediaan perkhidmatan ini.”
Yang Berhormat Dato seterusnya menerangkan kementeriannya pada masa ini sedang bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam program caregiver yang dilaksanakan oleh Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) untuk mempersiapkan individu sebagai penjaga pesakit dan seterusnya membuka peluang kepada pencari pekerjaan bagi menceburkan diri dalam bidang berkenaan.
Pada peringkat awal, latihan yang dirancang itu, dibukakan kepada ahli keluarga pesakit sahaja bagi membolehkan mereka menjaga pesakit dengan betul dan selamat dengan diberikan latihan khusus.
Latihan asas jangka pendek itu dianggarkan akan memakan masa tiga hari sahaja dan dijangka dapat dimulakan dalam masa terdekat.
Dalam jangka masa panjang, katanya, penjaga pesakit berkenaan akan digalakkan menjalani latihan yang lebih mendalam lagi bagi memperluaskan lagi keupayaan mereka dalam penjagaan pesakit yang terlantar di rumah supaya lebih terjamin kualiti perkhidmatan yang diberikan.
Kementerian itu juga mengendalikan latihan di hospital-hospital bagi membantu jururawat mengendalikan pesakit di wad-wad khususnya di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Kakitangan itu diambil beker-ja melalui syarikat tempatan yang dilantik secara berkontrak dan dinamakan Clinical Care Assistant (CCA) yang telah dilatih untuk membantu jururawat mengendalikan Bed Turning untuk pesakit yang terlantar, menolong jururawat memandikan atau membersihkan pesakit dan menukar baju pesakit.
Beliau mendedahkan setakat ini, kira-kira 140 orang belia telah dilantik sebagai CCA melalui inisiatif berkenaan.
Kementerian Kesihatan mengalu-alukan syarikat swasta tempatan menyediakan perkhidmatan seperti CCA yang mana boleh dilaratkan kepada penjagaan pesakit di rumah dan di hospital secara persendirian mengikut keperluan masing-masing.