Monday, March 17, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kementerian Kesihatan prihatin pesakit kurang berkemampuan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Golongan yang kurang berkemampuan terus diberikan perhatian terutama pesakit-pesakit dengan Kementerian Kesihatan mengadakan lawatan ke rumah-rumah pesakit yang kurang berkemampuan bagi menyampaikan sumbangan derma, barang keperluan asasi dan peralatan perubatan kepada pesakit serta keluarga yang telah dikenal pasti dan berdaftar di Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan, Kementerian Kesihatan di keempat-empat daerah, hari ini.

    Pada tahun ini, seramai 23 orang pesakit dan keluarga yang berdaftar di bawah Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan telah dikenal pasti bagi lawatan berkenaan.

    Rombongan lawatan berkenaan dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu satu kumpulan rombongan di Daerah Brunei dan Muara, satu kumpulan rombongan di Daerah Belait, satu kumpulan rombongan di Daerah Tutong dan satu kumpulan rombongan di Daerah Temburong.

    Hanya 18 orang pesakit akan dikunjungi oleh rombongan Kementerian Kesihatan manakala lima orang pesakit akan menerima sumbangan mereka secara berasingan.

    Rombongan lawatan bagi Daerah Brunei dan Muara diketuai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar di mana kumpulan berkenaan melawat empat orang pesakit.

    Semasa lawatan ke rumah pesakit keempat, ayah kepada pesakit berkenaan dalam temu bual ringkas bersama Media Permata merakam perasaan penghargaan kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan Kementerian Kesihatan serta semua yang terlibat dalam program berkenaan kerana hadir untuk melawat anaknya dan atas sumbangan derma yang dihulurkan.

    Manakala itu, di Daerah Belait, rombongan lawatan diketuai oleh Setiausaha Tetap, Haji Maswadi bin Haji Mohsin yang melawat empat orang pesakit. Rombongan di Daerah Tutong diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif yang melawat lapan orang pesakit serta rombongan di Daerah Temburong diketuai oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff yang melawat dua orang pesakit.

    Program lawatan berkenaan merupakan salah satu aktiviti kebajikan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan melalui Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan bagi menyerahkan sumbangan yang terkumpul dari Tabung Bantuan Amal Pesakit Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan yang diperoleh daripada sumbangan ikhlas daripada warga Kementerian Kesihatan, persatuan-persatuan bukan kerajaan, pihak swasta dan orang-orang persendirian.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pesakit semasa kunjungan rombongan Kementerian Kesihatan baru-baru ini. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Gambar ramai rombongan bersama pesakit di Daerah Belait. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda