Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Usaha terus dilaksanakan bagi membantu dalam pengurangan jejak karbon daripada premis-premis perkhidmatan awam melalui sokongan kepada Protokol Hijau yang merupakan garis panduan yang dilancarkan oleh Sekretariat Perubahan Iklim Brunei (BCCS).
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan telah mengadakan Majlis Pelancaran Penanaman Pokok bagi menyokong pelaksanaan Protokol Hijau yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan pelancaran dan menyertai aktiviti menanam pokok ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Turut hadir dan sama-sama menyertai aktiviti berkenaan ialah Setiausaha Tetap, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Ang Swee Hui, ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan serta syarikat-syarikat penaja iaitu Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Progresif dan Aesthetic Medident.
Sebelum aktiviti menanam pokok dimulakan, Yang Berhormat Dato serta para pegawai dan kakitangan telah mengambil bahagian dalam sesi memanaskan badan.
Majlis penanaman pokok dilancarkan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham yang menyempurnakan penanaman sepohon pokok Doa.
Acara diteruskan dengan penanaman sebanyak 127 anak pokok di kawasan Kementerian Kesihatan di mana pokok-pokok yang ditanam adalah pokok Sakura (Tabebuia aurea/Tabebuia rosea), pokok Doa (Bucida molineti), pokok Bereksa (Golden Shower Tree/Cassia fistula) dan pokok Eugenia.
Protokol Hijau merupakan satu garis panduan yang mula dilancarkan pada 30 Januari 2021 selaras dengan pelaksanaan Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.
Ia menggariskan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan bagi mengurangkan jejak karbon di premis-premis perkhidmatan awam dengan penggunaan teknologi efisien serta mengamalkan langkah-langkah penjimatan dalam tujuh elemen utama iaitu Penggunaan Tenaga, Penggunaan Air, Penggunaan Kertas, Penggunaan Plastik, Pengurusan Pembuangan Sisa, Pengurusan Acara Rasmi serta Penanaman Pokok.





