Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kementerian Kewangan dan Ekonomi nafi terbabit khidmat pinjaman wang

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) telah menerima beberapa aduan daripada orang ramai berhubung perkhidmatan pemberi pinjaman wang yang telah ditawarkan melalui aplikasi-aplikasi media sosial seperti Facebook dan Telegram, yang didapati menggunakan logo kementerian tersebut.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, kementerian berkenaan menegaskan tidak pernah bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menawarkan sebarang perkhidmatan pemberi pinjaman wang seperti yang telah tular.

    Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati serta tidak mudah mempercayai tawaran-tawaran yang sedemikian dan tidak membuat sebarang transaksi tanpa memastikan kesahihan maklumat terlebih dahulu.

    Penggunaan logo mana-mana agensi kerajaan tanpa kebenaran adalah satu perkara yang sangat serius, dan sesiapa yang menipu dengan menyamar, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi tujuh tahun dan didenda di bawah Bab 419 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22.

    MOFE juga menegaskan bahawa menjadi satu kesalahan bagi menyebarkan maklumat palsu di bawah Bab 34, Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148, yang mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu secara lisan atau bertulis atau dengan apa jua cara lain dan menyebabkan ketidaktenteraman orang ramai boleh dikenakan denda sebanyak $3,000 dan penjara selama tiga tahun.

    Gambar Fail

    Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) juga mengingatkan bahawa mana-mana pihak atau individu yang menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang hendaklah mempunyai lesen di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang, Penggal 62.

    Menurut Bab 8(1) Akta Pemberi Pinjaman Wang, menjalankan perniagaan meminjamkan wang tanpa lesen adalah satu kesalahan dan jika sabit kesalahan akan dikenakan denda $500 dan dipenjarakan bagi tempoh 18 bulan.

    Pihak BDCB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas pemberi pinjaman wang yang tidak berlesen.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengesyaki mana-mana entiti atau individu yang menawarkan perkhidmatan pinjaman wang tanpa lesen hendaklah menghubungi Isu Pengguna Kewangan, BDCB di talian 8380007 atau e-mel kepada fci@bdcb.gov.bn.

    Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat laporan dengan segera kepada Pasukan Polis Diraja Brunei di balai polis berhampiran, atau melalui talian 993 jika awda telah menjadi mangsa kepada aktiviti kewangan yang tidak berlesen tersebut.

    Untuk mendapatkan senarai institusi-institusi kewangan dan individu yang dilesenkan oleh BDCB serta BDCB Alert List, sila layari laman web BDCB di www.bdcb.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...