Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Bagi menandakan berakhirnya bacaan Al-Quran 30 Juzuk di bulan Ramadan oleh warganya, Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran, Tahlil dan Berbuka Puasa di Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah.
Majlis dimulakan dengan penyerahan wakaf berupa dua unit dispenser air yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis kepada Imam Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Awang Faizal bin Rosli.
Setelah itu, Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang didahului oleh Yang Berhormat Dato.
Majlis turut diisikan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah serta diselajurkan dengan berbuka puasa sebelum menunaikan solat Fardu Maghrib berjemaah.