Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit serta Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.
Rombongan diketuai oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan dihadiri oleh warga Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis diisikan dengan bacaan Surah Yasin dan diikuti dengan bacaan tahlil beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi, Awang Faizal bin Janif @ Rosli.
Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Doa Tahlil dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; ketua-ketua jabatan, divisyen dan unit di Kementerian Pembangunan, serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis tersebut merupakan aktiviti keagamaan tahunan yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan bersempena bulan Ramadan.