Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kementerian Pembangunan anjur khatam Al-Quran

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Tadarus Kementerian Pembangunan dan Jabatan-jabatan di bawahnya sempena bulan Ramadan 1445H/2024M yang telah diadakan selama tiga minggu di surau kementerian berkenaan berakhir kelmarin.

    Majlis tersebut menutup tirainya dengan Majlis Khatam Al-Quran, yang diselajurkan dengan berbuka puasa dan solat Fardu Maghrib berjemaah di Masjid Kampung Labu Estate, Daerah Temburong.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan, di sini, majlis berkenaan telah dikelolakan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Labu Estate, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-undang), Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan, diikuti dengan bacaan juzuk 30 beramai-ramai bersama 61 orang qari dan qariah yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Majlis diteruskan dengan bacaan takhtim dan Dikir Marhaban yang diketuai oleh Awang Hifzhuddin bin Lamudin dan Awang Muhammad Hafiy bin Awang Noorsam @ Noorsyam serta bacaan Doa Khatam oleh Ketua Imam Masjid Kampung Labu Estate, Awang Khairulamirin Fitri bin Haji Samsudin. Manakala Doa Peliharakan Sultan dibacakan oleh Imam Masjid Kampung Labu Estate, Awang Nortaqiuddin bin Nordin.

    Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada ketua-ketua jabatan diikuti dengan majlis berbuka puasa dan solat Fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Awang Khairulamirin Fitri.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda semasa menghadiri Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Kampung Labu Estate, Daerah Temburong. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN
    Warga Kementerian Pembangunan yang menyertai majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda