Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kementerian Pembangunan terus pantau keadaan air

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Sistem pemantauan kualiti secara dalam talian atau real time bagi loji-loji rawatan di negara ini bagi memastikan air bersih di tahap yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) antara yang disentuh oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Perkara tersebut dikongsikan ketika menjawab soalan berkaitan kualiti sumber air yang dibangkitkan oleh beberapa ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Nasir, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat dan Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong semasa Persidangan MMN bagi hari ke-13 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.

    Sehubungan itu, jelas Yang Berhormat Dato, Kementerian Pembangunan terus memberi perhatian dan keutamaan dengan keadaan air seperti di Daerah Temburong di mana sebelum ini beberapa lawatan telah dijalankan bagi melihat sistem tangki-tangki yang terdapat di sana dan juga kemajuan seterusnya dari segi pempaipan dan kerja-kerja pemeliharaan yang akan diperlukan.

    Ini termasuklah kajian kualiti air Sungai Temburong bagi meneliti perubahan-perubahan kualiti sumber air di daerah tersebut serta untuk mengatasi sebarang pencemaran yang berlaku.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato seterusnya berkata dengan pemasangan sistem pemantauan kualiti air yang dibuat secara dalam talian itu sememangnya dalam perancangan untuk dilaksanakan, termasuk di dalam peruntukan yang akan disediakan dalam Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-12.

    Kementerian Pembangunan terus memberi perhatian dan keutamaan dengan keadaan air seperti di Daerah Temburong termasuk meneliti perubahan-perubahan kualiti sumber air bagi mengatasi sebarang pencemaran yang berlaku. – GAMBAR SERAHAN HAJI MURSIDI HAJI ABD GHANI
    GAMBAR FAIL SERAHAN JKR

    Antara projek menaik taraf di Daerah Temburong ialah meningkatkan kapasiti pengeluaran air bersih di Loji Rawatan Air Batang Duri daripada lima megaliter sehari kepada 20 megaliter sehari.

    Sementara itu, dalam menyentuh isu yang dibangkitkan dalam persidangan berhubung penyediaan kawasan-kawasan yang belum menerima perkhidmatan Global Positioning System (GPS) di mana keperluan itu bagi memastikan semua kawasan baik di bandar mahupun di luar bandar mempunyai akses kepada teknologi yang menjadi semakin penting.

    Ini termasuklah kawasan-kawasan di Daerah Temburong yang sebahagian besar belum menerima rangkaian GPS. Maka dalam perkara ini, Yang Berhormat Dato menjelaskan aplikasi GPS dalam telefon bimbit adalah sistem yang disediakan secara global dan bukan disediakan oleh Jabatan Ukur.

    “Bagi menggunakan aplikasi GPS di sesuatu kawasan ia memerlukan signal telekomunikasi.

    Antara sebab-sebab GPS tidak dapat digunakan adalah tidak ada signal telekomunikasi, signal telekomunikasi yang rendah gangguan signal-signal jem termasuk untuk kawasan terkawal,” jelasnya.

    Oleh itu, tambah Yang Berhormat Dato, dengan adanya signal yang keluar ke kawasan luar pantai utamanya daripada penyedia perkhidmatan bagi Negara Brunei Darussalam yang menyediakan juga penyedia perkhidmatan signal-signal internet di seluruh negara ini, jika ia diluaskan keluar pantai maka dengan sendirinya sistem GPS, data-data dan signal GPS akan dapat diperoleh.

    Terdahulu, Yang Berhormat Dato turut menyarankan mana-mana kawasan yang menghadapi masalah air kekuningan untuk terus menghubungi setiausaha tetap di Kementerian Pembangunan semasa ia berlaku dan supaya dapat dihantar jurutera untuk terus melihat dan memeriksa di mana puncanya air kekuningan tersebut.

    Ahli-ahli MMN juga disarankan untuk memberikan dengan lebih spesifik kawasan yang masih menghadapi air kekuningan bertahun-tahun ini supaya pihak kementerian dapat menghantar pegawai-pegawai untuk memeriksa di kawasan tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda