Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan Kementerian Pendidikan
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 APRIL – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (Pusat L3) telah mengadakan Majlis Sambutan Memperingati Nuzul Al-Quran bagi peringkat Kementerian Pendidikan tahun 2023 di Dewan Utama, Kementerian Pendidikan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Pelajaran dari Jabatan Peperiksaan, Awang Mohammad Hazmi bin Haji Ahmad Daud.
Acara turut diserikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Al-Quran Mukjizat Kekal Rasulullah SAW’ iaitu bertepatan dengan tema majlis sambutan Nuzul Al-Quran peringkat negara tahun ini.
Ceramah tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’e, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Madya Dr Abdurrahman Raden Aji Haqqi.



