BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Berikutan video tular yang menunjukkan seorang pelajar lelaki dibuli oleh seorang lagi pelajar dengan dirakam oleh pelajar-pelajar lain di ruang sembahyang di salah sebuah sekolah di negara ini, Kementerian Pendidikan menegaskan bahawa sebarang perbuatan buli atau kelakuan yang boleh mencederakan individu atau warga sekolah serta merosakkan harta benda sekolah adalah diberikan perhatian serius dan tidak dapat diterima sama sekali.
Menyentuh mengenai video berkenaan, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan akhbar kelmarin berkata bahawa mereka kini menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut dengan mengenalpasti individu-individu terlibat dan membuat penilaian terhadap insiden yang telah terjadi.
Kementerian Pendidikan sentiasa komited dalam mewujudkan suasana selamat bagi warga sekolah dan akan bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu dalam menangani perkara berkenaan.
Dalam masa yang sama, Kementerian Pendidikan menyeru kerjasama pihak awam untuk menyalurkan bahan atau perkara sedemikian ke pihak-pihak berwajib dan tidak menyebarkannya ke platform awam yang boleh menyebabkan spekulasi tidak terkawal dan mengganggu siasatan.


