Sunday, January 26, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kementerian Pendidikan juara bola jaring

    Oleh Fadhil Yunus –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Kementerian Pendidikan mendominasi dalam Kejohanan Bola Jaring antara Kementerian sempena Hari Perkhidmatan Awam ke-31 apabila dinobatkan sebagai juara Kategori Terbuka Keseluruhan.

    Kejohanan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Brunei itu telah berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, bermula 10 Januari dan berakhir hari ini.

    Pasukan pilihan itu telah mengumpul mata maksimum untuk kekal tanpa kalah dalam peringkat pusingan robin dan mengekalkan kejuaraan yang dimenangi dalam edisi sebelumnya pada 2023.

    Naib juara pula disandang oleh Jabatan Perdana Menteri manakala Kementerian Kesihatan memperoleh tempat ketiga setelah menewaskan Kementerian Pertahanan 20-4 dalam perlawanan terakhir mereka.

    Sementara itu, Kementerian Pembangunan muncul juara dalam Kategori Veteran.

    Para pemenang bagi Kategori Terbuka Keseluruhan bergambar ramai semasa kejohanan itu. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyempurnakan hadiah kepada para pemenang pada majlis penutup kejohanan itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

    Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kebajikan) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar, Korporat dan Perancangan) di KHEDN, Dayang Siti Norashikin binti Mohd Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-undang) di Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Gharif serta pegawai kanan kerajaan.

    Kejohanan tersebut menyaksikan penyertaan 10 kementerian mengambil bahagian iaitu Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Pertahanan, KHEDN, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Pembangunan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Kejohanan itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara kementerian melalui mesyuarat sukan melibatkan komuniti perkhidmatan awam pelbagai peringkat umur dan jawatan.

    Pelbagai aktiviti akan dipergiatkan bagi melaksanakan hasrat dalam membawa masyarakat sektor awam ke arah gaya hidup dan mental yang sihat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda