Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Kementerian Pendidikan telah mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW yang berlangsung di Dewan Utama, Kementerian Pendidikan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Turut hadir pada majlis itu ialah setiausaha-setiausaha tetap, naib canselor Universiti Brunei Darussalam, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan dari Kementerian Pendidikan.
Pada majlis itu, ceramah khas bertajuk Meneladani Rasulullah SAW, telah disampaikan oleh Penolong Profesor, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman.
Majlis diteruskan lagi dengan Dikir Marhaban yang diketuai oleh kumpulan dikir yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah jemputan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat dan diakhiri dengan bacaan Doa Penutup.
Majlis itu merupakan salah satu acara hari-hari kebesaran Islam yang diraikan oleh Kementerian Pendidikan pada setiap tahun bagi merafakkan kesyukuran kepada Allah SWT dan meningkatkan lagi rasa kecintaan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.
Majlis sambutan tahun ini membawa tema, Rasulullah SAW Adalah Teladan Keluarga Sakinah, Mawaddah Warahmah.
Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Kementerian Pendidikan bagi 2025 dikendalikan bersama oleh Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan; Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan serta Pusat Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP).





