Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kementerian Pengangkutan mahu naik taraf Lapangan Terbang Tawau siap pada masa ditetapkan

    TAWAU, 26 SEPT – Kementerian Pengangkutan mahu projek menaik taraf Lapangan Terbang Tawau yang bernilai RM120.9 juta disiapkan dalam tempoh 36 bulan seperti ditetapkan.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata projek itu, yang dijangka siap pada 2028, akan memberi limpahan manfaat kepada rakyat khususnya dalam sektor pelancongan dan perdagangan melalui fasiliti moden dan selesa.

    “Penting (untuk) kontraktor siapkan (projek) tepat masa… saya akan pantau projek ini dan setiap minggu saya akan minta laporan kemajuan semasa mesyuarat pasca Kabinet,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Tawau hari ini.

    Beliau berkata pihaknya akan turut memastikan projek itu berjalan lancar tanpa mengganggu operasi lapangan terbang dan kontraktor perlu merancang pembinaan mengikut fasa, jadual serta kesesuaian atau integrasi dengan operasi lapangan terbang.

    Loke berkata projek itu, yang dikendali oleh syarikat pembinaan tempatan Sabah, membabitkan peningkatan kapasiti terminal penumpang daripada 1.5 juta kepada 2.5 juta orang setahun.

    Beliau berkata projek itu turut melibatkan penambahan jambatan udara, penambahbaikan apron pesawat, menaik taraf sistem penyaman udara dan kaunter pendaftaran daftar masuk serta kemudahan awam seperti tandas.

    “Elemen penting naik taraf ini juga adalah penyediaan kawasan daftar masuk imigresen dan e-Imigresen antara penerbangan domestik dan antarabangsa yang selesa serta selamat, yang mematuhi piawaian antarabangsa.

    “Pada masa ini, pemeriksaan imigresen bagi penerbangan domestik dan antarabangsa dilakukan di tempat yang sama menyebabkan berlaku kekeliruan, dan dikhuatiri terdapat penumpang yang terlepas daripada pemeriksaan,” katanya. – Bernama

    Anthony Loke (tengah) semasa menyempurnakan majlis pecah tanah projek cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Tawau pada 26 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda