Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Kementerian Pertahanan mengadakan Majlis Khatam Al-Quran melalui Program Ihya’ dan Jangkauan Ramadan bagi tahun 1446 Hijrah yang diadakan serentak di semua surau perkhemahan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), termasuk Masjid Pulau Baru-Baru dengan tumpuan utama diadakan di Surau Al-Fai’zun, Berakas Garison, kelmarin.
Hadir di majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pemerintah ABDB, setiausaha tetap Kementerian Pertahanan, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif ABDB, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, anggota, dan kakitangan Kementerian Pertahanan.
Turut diundang selaku jemputan khas ialah wakil-wakil institusi pendidikan tinggi dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Atase Pertahanan Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Penasihat Pertahanan Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, kakitangan dan peserta-peserta kursus antarabangsa Kursus Maktab Turus Sesi 15/2025 serta ketua-ketua kampung serta ahli-ahli kadet tentera.
Majlis berkenaan merupakan penutup kepada rangkaian aktiviti-aktiviti keagamaan dan kebajikan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan sepanjang bulan suci Ramadan.
