Sunday, July 7, 2024
24.6 C
Brunei

    -

    Kementerian Pertahanan B julang Piala Pusingan kejohanan badminton

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TUTONG, 27 NOV – Kejohanan Badminton antara Kementerian sempena Hari Perkhidmatan Awam kali ke-30 tahun 2023 telah melabuhkan tirainya malam kelmarin, selepas berlangsung selama empat hari pada 19 dan 24 hingga 26 November bertempat di Dewan Sekolah Chung Hwa Kiudang, Tutong.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan perlawanan akhir kejohanan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang kejohanan tersebut.

    Sebanyak 19 pasukan daripada kementerian-kementerian bertanding dalam lima kategori iaitu Perseorangan Lelaki; Beregu Lelaki A (kategori B2 dan ke atas); Beregu Lelaki B (kategori Bahagian III dan ke bawah); Beregu Wanita A (kategori Bahagian III dan ke atas); dan Beregu Wanita B (kategori Bahagian IV dan ke bawah).

    Pasukan Kementerian Pertahanan B dinobatkan sebagai juara kejohanan akhir berkenaan dengan merangkul hadiah berupa pingat, sijil penyertaan, piala dan wang tunai sebanyak $800. Juara juga membawa pulang piala pusingan yang disumbangkan oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Manakala tempat kedua dimenangi oleh Pasukan Kementerian Pembangunan A dengan menerima hadiah berupa pingat, sijil penyertaan, piala dan wang tunai sebanyak $600.

    Tempat ketiga pula disandang bersama oleh Pasukan JPM B dan Pasukan Kementerian Kesihatan A dengan masing-masing menerima hadiah berupa pingat, sijil penyertaan, piala dan wang tunai berjumlah $200.

    Selain itu juga johan bagi Tier B dimenangi oleh Pasukan Kementerian Hal Ehwal Ugama B dan menerima hadiah-hadiah termasuk pingat, sijil penyertaan, piala dan wang tunai sebanyak $150.

    Hadir sama pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), timbalan-timbalan menteri di JPM, setiausaha tetap-setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pemangku ketua-ketua kampung bagi Mukim Kiudang.

    Kejohanan badminton berkenaan dianjurkan bersama oleh Jabatan Bandaran Tutong dan Jabatan Daerah Tutong dengan dikendalikan oleh Kelab Badminton Sekolah Chung Hwa Kiudang, Tutong.

    Acara sukan itu dihasratkan dapat mengeratkan dan mengukuhkan lagi hubungan silaturahim, kerjasama dan perpaduan warga perkhidmatan awam serta menggalakkan warga perkhidmatan awam untuk sentiasa mengamalkan cara hidup sihat dan aktif melalui sukan badminton.

    Sesi bergambar ramai bersama Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua askar, enam suspek militan terbunuh dalam pertempuran di Kashmir

    NEW DELHI, 7 JULAI – Dua anggota tentera dan enam suspek militan terkorban dalam dua pertempuran berasingan di Kashmir yang ditadbir India, menurut polis, hari...