Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Seramai 55 bakal jemaah haji Kementerian Pertahanan telah menerima sumbangan pada Majlis Jiwa Murni yang berlangsung di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison, hari ini.
Bakal jemaah haji berkenaan terdiri daripada sembilan anggota tentera dalam perkhidmatan, 30 pesara tentera, sembilan orang kakitangan awam dalam perkhidmatan dan tujuh pesara awam.
Hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji lelaki ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Manakala itu, isteri Yang Berhormat Pehin iaitu Datin Hajah Kalsom binti Haji Suhaili menyampaikan sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji perempuan.
Majlis turut diisikan dengan tazkirah bertajuk Meraih Haji yang Mabrur yang disampaikan oleh Pegawai Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Nasyith bin Superi.
Tazkirah antara lain mengingatkan agar bakal jemaah haji membuat persiapan dari segi kerohanian, kesihatan dan kewangan sambil menghindari sifat-sifat mazmumah yang dapat menjauhkan mereka daripada Allah SWT.
Dengan itu, mereka boleh mengerjakan ibadah haji dengan hati yang suci dengan satu tujuan kepada Allah SWT dengan menjunjung sabda Rasulullah SAW, “Haji yang mabrur tiada ganjarannya yang sesuai melainkan syurga.” (Hadis Riwayat Tabrani)
Majlis diakhiri dengan sembahyang Sunat Hajat berjemaah dan Doa Selamat bagi bakal jemaah haji bagi memohon ke hadrat Allah SWT agar kesemua bakal jemaah haji di kementerian khususnya mendapat perlindungan, keselamatan, dipermudahkan segala urusan dan sentiasa dalam keadaan sihat serta memperolehi haji yang mabrur.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan isteri serta Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin.




