Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Belanjawan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dibincangkan di peringkat jawatankuasa semasa Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-20 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang bersidang bagi hari keempat di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.
Dalam pembentangan belanjawan Kementerian Pertahanan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof mengetengahkan keutamaan-keutamaan kementerian sebagai landasan untuk peruntukan yang disediakan, dengan mengambil kira kedudukan strategik Kementerian Pertahanan dan persekitaran semasa.
Kementerian Pertahanan juga akan terus memperkuatkan keupayaan pertahanan melalui pembaharuan aset dan peningkatan dalam bidang pertahanan maritim serta pengawasan ancaman bawah permukaan air.
Dalam konteks diplomasi pertahanan, kerjasama dua hala dan pelbagai hala dengan negara-negara sahabat akan diteruskan untuk memperkukuhkan kerjasama pertahanan, baik dari segi kuantiti mahupun kualiti.
Selain itu, Kementerian Pertahanan juga memberi fokus kepada pembaharuan organisasi melalui projek-projek pembangunan keselamatan, memastikan keupayaan sedia ada mencukupi untuk keperluan latihan tentera, dan mengamalkan budaya keselamatan dan kesejahteraan dalam kalangan warga kementerian.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, dalam pembentangan belanjawan kementeriannya, mengetengahkan mengenai pelan strategik untuk memastikan keama-nan, kemakmuran dan dinamisme negara.
Pelan itu menitikberatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat, transformasi pembangunan bandar dan daerah serta penyampian perkhidmatan berkualiti yang efisien.
Dalam usaha untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat, langkah-langkah termasuk peningkatan perkhidmatan pemadam api dan penguatkuasaan undang-undang imigresen dan pekerjaan juga digariskan.
Selain itu, usaha pembaikan infrastruktur di Kampong Ayer dan program latihan untuk penghulu mukim dan ketua kampung turut ditekankan, di samping peningkatan keusahawanan melalui Projek 1K1P.
Melalui pelaksanaan pelan strategik itu, KHEDN berharap dapat memperkasakan negara ke arah keamanan, kemakmuran, dan kesejahteraan yang berkekalan bagi semua warganya.
Beberapa orang ahli MMN dilantik telah mengajukan soalan dan cadangan bagi belanjawan KHEDN.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof telah menyuarakan beberapa pertanyaan termasuk penjelasan mengenai strategi untuk meningkatkan program 1K1P, menyelidiki punca penurunan kutipan cukai serta menekankan kepentingan dalam menjadikan Bandar Seri Begawan sebagai destinasi pelancongan yang lebih menarik.
Yang Berhormat Pehin juga memohon penjelasan mengenai usaha agensi kerajaan dalam menarik pelaburan asing dan permohonan visa. Antara lain juga, Yang Berhormat Pehin telah mengajukan beberapa soalan berkaitan keberkesanan dan cost effectiveness program-program yang telah dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan.
Trend kemasukan semula banduan ke penjara serta cadangan langkah-langkah pemulangan banduan asing untuk mengurangkan tekanan ke atas sistem penjara juga telah diketengahkan.
Dalam mengajukan beberapa soalan juga, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim telah mengetengahkan beberapa isu termasuk mengenai penambahan peluang pekerjaan di kementerian.
Selain itu, kemajuan pemba-ngunan Kampong Ayer juga ditimbulkan. Yang Berhormat Pehin telah memohonkan penjelasan bagi status pelan induk penggunaan tanah di Daerah Temburong dan menyuarakan keperluan untuk menimbangkan inisiatif strategik yang lebih memberikan impak dalam penggunaan bajet.
Dalam hal lain juga, pelaksanaan sistem One MOHA dan eGate di lapangan terbang dan imigresen juga disuarakan serta kepentingan peningkatan sistem ketibaan penumpang di lapangan terbang.
Yang Berhormat Pehin turut memohon pencerahan berkaitan keadaan fasiliti riadah yang tidak dijaga dengan baik dan mencadangkan pembukaan program penaja atau pengumpulan derma untuk penyelenggaraan fasiliti berkenaan.
Yang berhormat daripada kalangan orang yang telah mencapai kecemerlangan juga turut mengajukan soalan dan cadangan dengan Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin menekankan kepentingan memahami serta menilai aspirasi kedua belanjawan negara serta langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencapainya.
Yang Berhormat Hajah Rosmawatty juga menyoroti keperluan menilai kualiti aspirasi tersebut terhadap kemajuan negara dan penciptaan peluang pekerjaan termasuk rancangan untuk meninjau kembali pelan induk yang sedia ada dan meningkatkannya, sambil menyelidik sama ada pelan tersebut juga dikongsikan kepada pihak swasta yang berkaitan.
Di samping itu, beliau juga menyuarakan mengenai peningkatan kemasukan usahawan dan pekerja asing, terutamanya di Daerah Temburong selepas pembukaan jambatan.
Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam telah mencadangkan agar objektif program 1K1P menumpukan kepada memenuhi pasaran domestik dahulu sebelum melangkah ke pasaran antarabangsa, serta meningkatkan kualiti produk dan pembungkusan.
Beliau juga memohon pencerahan mengenai penilaian KPI untuk buku pembelajaran, yang hanya mencapai 60 peratus daripada sasaran yang ditetapkan serta menyuarakan kepentingan memberikan keutamaan kepada penjaja di jalan-jalan utama dari segi keselamatan dan kebersihan.
Yang Berhormat Chong Chin Yee telah menyuarakan perhatian mengenai prestasi majlis penghulu mukim dan ketua kampung pada tahun-tahun sebelumnya, yang menunjukkan peningkatan dalam penjualan produk akan tetapi kemudiannya mengalami penurunan dan kestabilan.
Bagi meningkatkan inisiatif 1K1P, Yang Berhormat Chong Chin Yee telah mencadangkan bagi pembentukan buku panduan bagi para usahawan untuk meningkatkan kesungguhan dan komitmen mereka.
Yang Berhormat Chong Chin Yee juga mengetengahkan mengenai makanan ambuyat, makanan tradisional negara yang dikenali sebagai Hidden Gem of Brunei, dan memberikan perhatian mengenai usaha-usaha yang diambil untuk meningkatkan daya tarikan ambuyat sebagai satu cara bagi mempromosikan pelancongan sambil memelihara warisan budaya.
Yang Berhormat Dr Haji Mahali bin Haji Momin telah menyuarakan keprihatinan masyarakat berkenaan dengan peningkatan haiwan liar yang berkeliaran. Salah satu isu utama yang dibangkitkan adalah berkaitan dengan program pengembirian anjing yang dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menggunakan sumbangan wang daripada masyarakat.
Dalam menjawab beberapa soalan ahli-ahli MMN yang dilantik, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin telah menjelaskan hanya satu syarikat yang telah mengemukakan cadangan untuk memperluaskan program 1K1P, yang melibatkan penghulu kampung bagi menyampaikan maklumat kepada para usahawan dan menggalakkan penyertaan dalam aktiviti seperti pameran untuk meramaikan lagi program berkenaan.
Selain itu, beliau juga menyatakan penurunan cukai adalah disebabkan oleh penelitian dan pengemaskinian pada bangunan-bangunan yang ada dan sistem cukai sedang dalam proses pembaharuan.
Dalam memberikan penjelasan mengenai isu Jabatan Penjara, Yang Berhormat Dato juga menyatakan keperluan dalam konsolidasi sumber daya manusia di Jabatan Penjara serta usaha untuk mengatasi masalah keselamatan di Penjara Jerudong.
Dalam hal lain, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin juga mengemukakan inisiatif seperti penggunaan Border Control System dan implementasi teknologi eGate untuk meningkatkan keselamatan negara serta pengalaman ketibaan di lapangan terbang.
Pada menjawab soalan mengenai sistem One MOHA, Yang Berhormat Dato menjelaskan sistem itu akan mengintegrasikan sistem penting di bawah KHEDN ke dalam satu rang-kaian digital yang canggih.
Beliau juga memberikan penjelasan mengenai aspirasi kedua yang penekanannya melalui lima Indeks Prestasi Utama (KPI), serta pentingnya peranan setiap kementerian dalam pembangunan negara.
Dalam usaha untuk mewujudkan program 1K1P, Yang Berhormat Dato menjelaskan cabaran yang dihadapi oleh para usahawan, termasuk keengganan untuk berkongsi resipi makanan dan kepentingan pembungkusan makanan tanpa kos tambahan.
Bagi peningkatan daya tarikan ambuyat, tempat utama pengeluaran di Kampung Ukong dan Batu Apoi akan dipertingkatkan lagi.