Friday, November 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kementerian Pertahanan rai Hari Bumi

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Sebanyak 5,946 kilogram (kg) sampah sarap berjaya dikumpul semasa Kempen Kebersihan Senegara Persisiran Pantai yang digelar sebagai Coastal Marvel, merangkumi 11 buah pantai di tiga buah daerah, kelmarin.

    Kempen anjuran Kementerian Pertahanan bersempena dengan Sambutan Hari Bumi 2024 itu bertujuan mendokong inisiatif Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan (JIIK) dalam memastikan Negara Brunei Darussalam kekal bersih dan bebas daripada pencemaran sampah.

    Pelancaran kempen berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahahan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof di Pantai Jerudong sebelum beliau meninjau pelaksanaan kempen serupa di pantai-pantai lain.

    Sementara itu, pelancaran kempen di Daerah Belait diwakili Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei.

    Manakala, di Daerah Tutong pula kempen tersebut telah dilancarkan oleh Pemangku Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei di Pantai Seri Kenangan.

    Yang Berhormat Pehin menyempurnakan penyerahan tong kitar semula kepada pemangku pegawai Daerah Brunei dan Muara. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Pehin menyaksikan kempen kebersihan yang diadakan di kawasan pantai lain. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bergambar ramai bersama peserta dan sampah yang dikutip semasa kempen tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara peserta yang mengambil bahagian dalam kempen kebersihan pantai di Pantai Jerudong kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Antara peserta yang mengambil bahagian dalam kempen kebersihan pantai di Daerah Belait. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Menyertai kempen berkenaan di Pantai Jerudong ialah Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pembangunan, Pemangku Pemerintah Markas Angkatan Bersama ABDB, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Penghulu Mukim Sengkurong, Ketua Kampung Jerudong, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Kementerian Pertahanan.

    Acara dimulakan dengan sesi bergambar ramai, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah dan tazkirah ringkas bertajuk Meraih Pahala Dengan Kebersihan.

    Yang Berhormat Pehin dialu-alukan untuk menyaksikan secara langsung melalui live feed kempen kebersihan yang berlangsung secara serentak di 10 buah pantai yang lain.

    Sejurus selepas itu, taklimat keselamatan disampaikan dan sesi senaman ringan sebelum kempen kebersihan dimulakan.

    Semasa kempen, Yang Berhormat Pehin berkesudian untuk menyerahkan tong kitar semula kepada Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri sebagai simbol kepentingan kebersihan dalam memelihara kelestarian alam sekitar dan mengurangkan pencemaran ekosistem marin.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya berkesempatan meninjau ke Pantai Meragang dan Pantai Muara.

    Sekembalinya semula ke Pantai Jerudong, Yang Berhormat Pehin menyaksikan laporan secara langsung melalui live feed jumlah kutipan sampah sarap dari setiap pantai. Kempen yang mencerminkan komitmen Kementerian Pertahanan melalui pendekatan whole-of-nation dalam mewujudkan kesedaran awam tentang kebersihan persekitaran berkenaan telah melibatkan hampir 2,000 orang.

    Turut menyertai kempen itu pemangku-pemangku pegawai daerah, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, majlis-majlis perundingan kampung dari Daerah Tutong dan Belait, penuntut-penuntut Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Muara Maritime Services (MMS) dan juga penduduk setempat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda