Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Kementerian Pertahanan hari ini mengadakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1447 secara serentak di seluruh surau garison, perkhemahan dan pangkalan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), termasuk di Masjid Pulau Baru-Baru.
Acara yang berlangsung di Surau Al-Hikmah, Institut Latihan ABDB, Penanjong Garison telah dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Majlis bermula dengan sembahyang Fardu Subuh berjemaah, diikuti tadarus Al-Quran dan tazkirah bertajuk Semarak Hijrah Mencapai Kecemerlangan Yang Mampan yang disampaikan oleh Timbalan Pegawai Turus Inspektorat Agama, Jabatanarah Agama (JAMA’AT), Kapten Ayza Azrine bin Ayahani.
Sambutan diteruskan dengan aktiviti berjalan pagi menuju ke Masjid Kampung Penanjong, Tutong, sebagai simbolik memperingati penghijrahan Rasulullah SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah.
Di masjid berkenaan, warga Kementerian Pertahanan menunaikan sembahyang Sunat Hajat dan sembahyang Sunat Dhuha, diikuti dengan penyerahan derma kepada 29 anak-anak yatim Kampung Penanjong melalui Tabung Infaq ABDB dan sumbangan warga awam Kementerian Pertahanan.
Penyampaian disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua.
Sambutan Ilal Hijrah 1447 kali ini membawa tema penghijrahan rohani dan fizikal yang dizahirkan melalui perjalanan ke masjid-masjid berdekatan, dengan matlamat mengeratkan ukhuwah serta memupuk perpaduan antara warga Kementerian Pertahanan dan masyarakat setempat.
Turut hadir ialah pemerintah ABDB, setiausaha tetap Kementerian Pertahanan, pegawai-pegawai kanan, serta warga Kementerian Pertahanan.
Antara jemputan khas yang diundang di Surau Al-Hikmah ialah setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU); Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Sengkarai Daerah Tutong; Pemangku Pegawai Daerah Tutong; Penghulu Mukim Pekan Tutong; Ketua Kampung Penanjong; Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid; wakil-wakil dari Unit Dakwah Tutong dan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah; pegawai-pegawai pemerintah dari Daerah Polis Tutong dan Balai Bomba dan Penyelamat Cawangan Operasi E.




