Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kementerian Pertahanan sedia hadapi KHEDN

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Matlamat dan latihan digabung dengan usaha serta doa menjadi resipi utama kejayaan Pasukan Kementerian Pertahanan untuk mencoret sejarah apabila buat kali pertama mara ke peringkat kalah mati Kejohanan Bola Sepak Piala Keputeraan 2017, setelah berjaya menduduki tempat kedua Kumpulan B di peringkat awal kejohanan.

    Perkara itu antara yang ditegaskan oleh Pengurus Pasukan Bola Sepak Kementerian Pertahanan, Rapawi Bujang ketika dihubungi Media Permata mengenai kejayaan pasukan itu.

    “Memang sasaran kami untuk layak sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir dan ia merupakan sejarah manis bagi kami kerana sebelum ini belum pernah layak ke peringkat separuh akhir,” ujarnya.

    Apabila ditanya mengenai cabaran peringkat kalah mati, beliau menegaskan besar kemungkinan akan bertemu dengan Pasukan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), yang pada masa ini di tangga teratas dalam Kumpulan A, yang juga merupakan juara bertahan kejohanan edisi lalu.

    “Jangkaan kami adalah untuk memberi saingan yang hebat kepada pasukan yang bakal kami temui di peringkat separuh akhir dan kami komited untuk terus berusaha memenangi perlawanan tersebut,” ujarnya lagi.

    Barisan pemain dan pihak pengurusan Pasukan Kementerian Pertahanan yang bersaing dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Keputeraan 2017.

    Meskipun berdepan kesukaran mendapatkan pemain dari warga awam Kementerian Pertahanan kerana bilangan yang kecil, bahkan mereka hanya dihadkan untuk menyenaraikan empat orang dari warga kerja Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) oleh pihak penganjur, Rapawi tetap yakin bahawa dengan komitmen dan kemahuan untuk berjaya dapat membawa mereka lebih jauh dalam kejohanan itu. “Pasukan KHEDN merupakan cabaran terbesar kami dan ia jelas terbukti dengan jumlah jaringan yang mereka perolehi, dan sebahagian besar pemain mereka terdiri daripada pemain-pemain dari Liga DST, pastinya mereka juga komited selaku juara bertahan Kejohanan Bola Sepak Piala Keputeraan,” kata Rapawi mengenai pasukan lawan.

    “Harapan saya selaku pengurus pasukan, agar pasukan dapat melayakkan diri ke peringkat akhir dan saya menyarankan supaya para pemain akan terus fokus dan berusaha selain memberikan komitmen sepenuhnya apabila melangkah ke padang pada 27 atau 29 September nanti,” ujarnya.

    Beliau turut mencadangkan kepada penganjur kejohanan untuk memberikan pertimbangan kepada Pasukan Kementerian Pertahanan untuk menambah bilangan pemain ABDB untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama oleh kerana bilangan warga ABDB lebih ramai berbanding warga awam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda