Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kementerian Pertahanan semarak Malam Nisfu Syaaban

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Kementerian Pertahanan, kelmarin, telah mengadakan Majlis Sambutan Nisfu Syaaban 1445 Hijrah secara serentak di seluruh surau Kementerian Pertahanan termasuk Masjid Pulau Baru-Baru dengan tumpuan utama di Surau Al-Faizun’, Berakas Garison.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Turut hadir ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin; Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Brigedier Jeneral Haji Shannonizam bin Sulaiman serta seluruh peringkat kepimpinan dan warga Kementerian Pertahanan.

    Kenyataan turut menyatakan bahawa penduduk dan ketua-ketua kampung yang berhampiran turut dijemput ke majlis berkenaan.

    Majlis itu dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib dan sembahyang Sunat Hajat berjemaah diikuti dengan bacaan Surah Yasin sebanyak tiga kali yang dipimpin oleh Kapten Abdul Mu’iz Azizi bin Haji Zulkifli.

    Majlis diteruskan dengan bacaan doa khas Nisfu Syaaban 1445 Hijrah yang diketuai oleh Awang Muhd Syakir Farhan bin Haji Omar dan diakhiri dengan sembahyang Fardu Isyak berjemaah yang dipimpin oleh Soldadu Abdul Manan bin Othman.

    Antara tujuan majlis berkenaan adalah untuk menggalakkan warga Kementerian Pertahanan dan para jemputan yang turut hadir untuk meningkatkan amal ibadat, memohon keampunan dan keredaan dari Allah SWT pada majlis Nisfu Syaaban, malam yang penuh keberkatan dan keistimewaan.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi turut hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda