Sunday, December 22, 2024
21.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kementerian Pertahanan terima kunjungan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Kementerian Pertahanan telah menerima lawatan rasmi daripada Ketua Angkatan Pertahanan Australia, Jeneral Angus John Campbell, AO, DSC di Bolkiah Garison, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, sejurus tiba, Jeneral Angus John Campbell memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota-anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).

    Seterusnya, beliau mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Semasa perjumpaan itu, Yang Berhormat Pehin dan Jeneral Angus John Campbell menggariskan persahabatan erat yang terjalin lama dalam bidang pertahanan yang telah memberi sumbangan positif kepada keteguhan keseluruhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara terutamanya melalui inisiatif Kumpulan Kerja Pakar Perubatan Tentera ASEAN Defence Ministers’ Meeting-Plus yang kedua-dua negara pengerusikan bersama dari 2021 hingga 2024.

    Perjumpaan berkenaan juga memberikan peluang bagi perbincangan isu-isu yang berkepentingan bersama.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa bertemu Jeneral Angus John Campbell. – Gambar oleh Adib Noor
    Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi dan Jeneral Angus John Campbell semasa di Bolkiah Garison. – Gambar oleh Adib Noor

    Kemudian, Jeneral Angus John Campbell turut mengadakan perjumpaan berasingan bersama Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

    Semasa kunjungan berkenaan, kedua-dua belah pihak telah menekankan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan ketenteraan dua hala dalam menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.

    Dalam bidang pertahanan, Negara Brunei Darussalam dan Australia telah memeterai memorandum persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada 10 Mei 1999.

    Kedua-dua buah negara mempunyai hubungan pertahanan yang rapat dan sudah lama terjalin yang merangkumi lawatan, pertukaran profesional, eksesais, latihan dan kursus.

    Jeneral Angus John Campbell berada di Negara Brunei Darussalam bagi lawatan rasmi selama dua hari hingga hari ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda