BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit telah menerima lawatan pengenalan daripada Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran) dan Menteri Pertahanan Kedua Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Ong Ye Kung di Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison, pagi tadi.
TYT Ong Ye Kung diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, TYT Lim Hong Huai dan Penasihat Pertahanan Singapura, Kolonel Lee Yong Heng.
Sejurus tiba di Kementerian Pertahanan, TYT Ong Ye Kung memeriksa perbarisan kawalan kehormatan daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Mengalu-alukan ketibaan TYT Ong Ye Kung ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah; Setiausaha Tetap, Kapten (B) Dato Paduka Abd Rahman bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, TLDB; pemerintah-pemerintah angkatan tentera, timbalan-timbalan setiausaha tetap serta pengarah-pengarah tentera dan awam.


Semasa kunjungan tersebut, Timbalan Menteri Pertahanan mengesahkan hubungan persahabatan erat di antara kedua-dua buah institusi pertahanan, yang terus berkembang dalam pelbagai interaksi yang luas.
Mereka juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, dan menekankan komitmen berterusan ke arah menyokong inisiatif pertahanan dalam menjamin keamanan dan kestabilan di rantau ini.
Dalam lawatan itu juga, satu majlis jamuan makan tengah hari telah diadakan untuk TYT Ong Ye Kung yang dianjurkan oleh Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Aziz.
Lawatan TYT Ong Ye Kung adalah lawatan lanjutan kerja beliau di bawah Program Pemimpin Belia Singapura ke-5 dan beliau juga merupakan sebahagian daripada rombongan Timbalan Perdana Menteri Republik Singapura dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara Republik Singapura, TYT Teo Chee Hean.