Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kementerian Pertahanan terima lawatan rasmi

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Kementerian Pertahanan telah menerima lawatan rasmi daripada Pengerusi Jawatankuasa Ketua-ketua Turus Bersama, Angkatan Tentera Pakistan, Jeneral Sahir Shamshad Mirza, hari ini.
     
    Ketibaan Jeneral Sahir Shamshad Mirza telah disambut oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan seterusnya menerima tabik hormat diikuti dengan pemeriksaan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).
     
    Jeneral Sahir Shamshad Mirza, kemudiannya mengadakan kunjungan muhibah kepada Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi, di mana kedua-dua pihak telah menzahirkan penghargaan terhadap hubungan persahabatan dan kerjasama pertahanan yang sekian lama terjalin antara kedua-dua angkatan tentera, khususnya dalam bidang latihan, perkongsian profesional serta pembangunan kapasiti.
     
    Jeneral Sahir Shamshad Mirza seterusnya mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri  Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof. 
     
    Semasa kunjungan berkenaan, kedua-dua pihak mengiktiraf hubungan pertahanan yang rapat dan berterusan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Islam Pakistan, yang telah diperkukuhkan lagi melalui pelaksanaan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pertahanan Bersama ke-7 yang telah berlangsung di Negara Brunei Darussalam pada 14 Oktober lalu. 
     
    Yang Berhormat Pehin turut menekankan kepentingan untuk meneruskan momentum kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara dan menzahirkan harapan supaya ABDB dan Angkatan Tentera Pakistan akan terus memperkukuh hubungan erat yang sedia terjalin.
     
    Sepanjang berada di Negara Brunei Darussalam, Jeneral Sahir Shamshad Mirza juga dijadualkan mengunjungi beberapa unit di bawah ABDB serta melawat pusat-pusat kebudayaan dan tempat-tempat bersejarah di negara ini.
     
    Jeneral Sahir Shamshad Mirza, berada di Negara Brunei Darussalam dari 3 hingga 6 November.
     
    Jeneral Sahir Shamshad Mirza semasa memeriksa kawalan kehormatan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Jeneral Sahir Shamshad Mirza dan Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bergambar ramai semasa lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda