Kementerian Tenaga panjatkan kesyukuran

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Kementerian Tenaga serta jabatan dan badan-badan berkanun di bawahnya telah mengadakan majlis Doa Kesyukuran, sembahyang Fardu Asar dan sembahyang Sunat Hajat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74 di Masjid Ash-Shaliheen, hari ini. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Tenaga), Haji Azhar bin Haji Yahya; Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa Elektrik), Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra serta pegawai dan kakitangan dari Kementerian Tenaga, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam dan Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA).

Majlis dimulakan dengan sembahyang Sunat Hajat dan diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.

Kemudian, majlis diikuti dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Penolong Ketua Imam Masjid Ash-Shaliheen, Awang Mohammad Syariff Wafiuddin bin Jemain.

Majlis telah diadakan selaras dengan garis pandu yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan bagi menangani penularan wabak COVID-19.

Dato Seri Paduka Haji Matsatejo ketika majlis Doa Kesyukuran, sembahyang Fardu Asar dan Sembahyang Sunat Hajat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-74 di Masjid Ash-Shaliheen, kelmarin.