Tuesday, February 25, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemeriahan Festival Tazaungdaing di Myanmar

    YANGON – Dimeriahkan dengan alunan muzik dan tarian, warga Myanmar menyambut dengan penuh meriah festival cahaya yang merupakan salah satu upacara tradisi negara itu baru-baru ini.

    Perayaan ini juga dikenali sebagai Festival Tazaungdaing sebagai bulan kelapan dalam kalendar Myanmar sekali gus menandakan berakhirnya musim hujan.

    Semasa sambutan yang diadakan selama tiga hari itu, struktur rumah dan bangunan dihiasi dengan cahaya lampu berwarna-warni dan tidak kurang juga yang menyalakan lilin.

    Sementara di kawasan awam termasuk taman, pagoda dan pusat membeli-belah pula dipenuhi dengan keluarga, pasangan kekasih dan perkumpulan sahabat yang sekali gus memperlihatkan riak wajah yang gembira dan bahagia.

    Ratusan petak gerai makanan turut didirikan di mana ia juga turut dihias dengan pelbagai cahaya lampu berwarna-warni sekali gus memeriahkan suasana malam di sekitar jalan-jalan di kawasan pusat bandar Yangon melalui acara perayaan yang diraikan.

    Tanglung dan belon udara turut dilepaskan bagi memeriahkan lagi acara Festival Tazaungdaing. – Xinhua
    Masyarakat tempatan berkumpul di kawasan pagoda bagi memeriahkan acara Festival Tazaungdaing.
    Masyarakat Myanmar menyalakan lilin yang merupakan antara upacara tradisi dalam Festival Tazaungdaing. – Xinhua

    Sementara di Taunggyi, salah satu daerah di Myanmar pula mengadakan pertandingan kreativiti belon udara dan juga bunga api yang juga merupakan sebahagian daripada aktiviti popular bersempena dengan festival tersebut.

    Tatkala bulan purnama mengembang bersempena dengan Festival Tazaungdaing, masyarakat jelas berasa teruja untuk menerbangkan tanglung yang memiliki pelbagai rekabentuk seperti gajah dan burung ke udara.

    Pagoda di Yangon pula dipenuhi dengan penganut-penganut Buddha tidak kira sama ada dari warga tempatan ataupun tidak yang menyalakan lilin, membawa bunga dan pelbagai buah-buahan yang merupakan sebahagian daripada upacara dalam agama tersebut.

    Salah satu aktiviti terkenal, persaingan menenun jubah berwarna kuning khusus untuk diperagakan oleh sami juga turut diadakan di ibu negara.

    Lebih menarik lagi apabila pada malam bulan purnama, warga Myanmar juga turut menyediakan salad khas digelar Mezali yang mengandungi bunga tunas yang direbus dan dilengkapi dengan bahan perasa seperti bijan, kacang tanah, bawang putih goreng dan bahan-bahan lain.

    Sementara, para belia di Myanmar pula cukup teruja untuk memainkan permainan tradisi bernama Kyeemanoe Pwe yang merangkumi corak permainan pelbagai helah.

    Asal-usul perayaan tersebut menceritakan mengenai perkembangan agama Buddha ke Myanmar di mana ia dipercayai berasal dari perayaan Kattika sebagaimana yang termasuk di dalam astrologi Hindu. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda