Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 31 Dis – Menghampiri akhir tahun 2017, Balai Bomba Seria telah menganjurkan Hari Keluarga dengan menyediakan pelbagai aktiviti dan pertandingan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara anggota-anggota bomba dan ahli keluarga hari ini.
Acara yang berlangsung di Balai Bomba Seria dihadiri oleh Pemangku Penolong Operasi, Awang Mohd Shahreeni bin Haji Mohd Yusof, Pemangku Pemerintah Operasi B, SFR AwangMohamad Shazwan bin Suhanie dan Stesen Komander Balai Bomba Seria Pegawai Balai, Awang Muhd Ali bin Hassan. Awang Muhd Ali berkata hari keluarga yang diadakan tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan menepati sasaran dan merancang acara seperti itu akan diadakan setiap penghujung tahun.
“Di samping aktiviti penghujung tahun ini, kami juga berharap dengan menjelangnya Tahun Baru 2018 nanti, pasukan anggota bomba di Balai Bomba Seria terus mantap dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai anggota bomba dan penyelamat secara berterusan,” ujarnya.
Sementara itu, Pertandingan Seni Suara dan Ketahanan Burung Bon Pekicau 995 menjadi tumpuan apabila menarik lebih 100 penyertaan yang dibukakan kepada orang ramai. Pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Burung Murai Batu Kepala Hitam/Putih dan Kategori Burung Pleci/Suit Mata Putih (tempatan). Pelbagai jenis hadiah disediakan untuk pemenang antaranya sangkar burung, kelengkapan serta makanan burung bagi setiap kategori.
Di samping itu, Peraduan Mewarna Terbuka untuk kanak-kanak, jualan minuman dan makanan, Demonstrasi Pertolongan Cemas (EMAS Seria), senamrobik, dan perlawanan akhir sepak takraw turut memeriahkan acara itu.
Hari keluarga tersebut diadakan antara lain bertujuan untuk menyatukan dan memberikan peluang kepada para anggota bomba untuk meluangkan masa berharga bersama ahli-ahli keluarga masing-masing di hujung tahun ini.