Oleh Syahmi Hasssan, Siti Nur Wasimah S., Hajah Saemah Kepli & Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Bahang kemeriahan Sambutan Hari Raya Aidilfitri masih terus dapat dirasakan di negara ini dengan majlis-majlis rumah terbuka dan pejabat terbuka diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini bagi mengeratkan lagi silaturahim.
Baru-baru ini, syarikat antarabangsa China Harbour Engineering Company Ltd (CHEC) turut tidak ketinggalan mengambil kesempatan di bulan Syawal yang mulia untuk mengadakan majlis terbuka di Restoran Nur Wanita, Serasa.
Majlis berkenaan telah dihadiri oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar, Duta Besar China ke Negara Brunei Darussalam, Yang Jian, para pegawai dan kakitangan kerajaan, badan-badan jawatankuasa, rakan kongsi, klien serta pegawai dan kakitangan CHEC.
Dengan berlatar belakangkan pemandangan projek pembinaan Jambatan Penghubung Pulau Muara Besar, para tetamu yang hadir juga dapat menyaksikan perkembangan semasa jambatan sepanjang 2.7km itu.
Wakil dari CHEC menyatakan rasa gembira kerana dapat sama-sama merayakan Aidilfitri di negara ini, yang mana ia bukan diraikan oleh orang-orang Islam sahaja. Justeru, tambahnya, majlis sebegini dapat menemukan kenalan-kenalan baru, mengeratkan lagi silaturahim di antara rakan-rakan kerja dari pelbagai kaum dan latar belakang yang berbeza.


Sementara itu, hari ini, Great Eastern Life Brunei telah mengadakan majlis pejabat terbuka untuk tetamu mereka yang diadakan di ibu pejabatnya di Kiulap.
Antara yang menghadiri majlis bermula jam 11 pagi sehingga 3 petang itu ialah Ketua Cawangan Great Eastern Life Brunei, Caroline Sim; Pengurus Pentadbiran dan Kewangan, Lim Charng Hui, kakitangan Great Eastern Life Brunei serta para jemputan khas.
Majlis itu diserikan dengan pelbagai hidangan yang lazat sebagai tanda penghargaan kepada tetamunya.
Dalam kenyataan yang diberikan, Caroline Sim dipetik sebagai berkata, “Kami begitu gembira untuk mengadakan majlis pejabat terbuka yang diadakan setiap tahun ini dalam sama-sama menunjukkan tanda penghargaan kepada para pelanggan kami serta kakitangan yang lainnya.”
Manakala itu, dengan hasrat untuk mengeratkan lagi silaturahim dan peluang beramah mesra di kalangan peringkat anggotanya, Balai Bomba Seria telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya ‘Halal Bi Halal’ Aidilfitri yang telah diadakan di balai bomba berkenaan, hari ini.

Stesen Komander Balai Bomba Seria, Pemangku Penolong Penguasa Bomba Awang Muhamad Ali bin Hassan selaku pengerusi majlis menyatakan, majlis itu diadakan dengan matlamat utama untuk mempertemukan kalangan peringkat anggota Balai Bomba Seria dengan para jemputan dari jauh dan dekat dalam satu pertemuan besar dengan mengambil sukut baik sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Beliau juga menjelaskan, melalui majlis seperti itu, ia juga dihasratkan untuk meningkatkan semangat ukhuwah Islamiah dan mengeratkan lagi ikatan silaturahim, serta peluang beramah mesra antara ketua-ketua jabatan dan anggota bomba sekali gus di peringkat Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).
Turut menghadiri majlis itu ialah Setiausaha Tetap di KHEDN, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, timbalan-timbalan setiausaha tetap di KHEDN dan Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman.
Hadir sama ialah Pengarah Bomba dan Penyelamat, Lt Kolonel (B) Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman dan para pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta anggota Balai Bomba Seria.

Turut mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri hari ini adalah Sekolah Persatuan Tanjong Maya (PERTAMA) Tutong yang berlangsung di sekolah berkenaan di mana lebih 400 orang murid yang terdiri daripada murid-murid Pra 1 sehingga Tahun 6 menghadirinya.
Dengan kemeriahan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, murid-murid memakai pakaian Hari Raya dan membawa pelbagai juadah makanan raya seperti kuih-muih dan minuman.
Di majlis tersebut, Guru Besar Sekolah PERTAMA Tutong, Hajah Siunchang binti Haji Kurus bersama guru-guru kanan sekolah berkenaan berkesempatan meninjau dan melawat ke kelas-kelas untuk beramah mesra bersama guru-guru dan murid-murid.
Majlis berkenaan merupakan salah satu kegiatan tahunan sekolah bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara guru-guru dan murid-murid.
Selain itu, dengan sambutan ini, para guru dan murid-murid berpeluang untuk bermaaf-maafan selain dapat menjamu selera.