Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman
Sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi akan menjelang. Kesibukan pastinya terasa bagi setiap masyarakat dan penduduk di negara ini, khususnya para ibu bapa, seperti membeli atau memotong baju cara Melayu bagi kanak-kanak lelaki, manakala baju kurung bagi kanak-kanak perempuan mereka. Begitu juga dengan keperluan lainnya seperti songkok, tudung, kasut, selipar dan sebagainya.
Pada malam Lebaran suatu ketika dahulu, golongan kanak-kanak akan berkumpul bersama rakan-rakan mereka, bersiap-sedia memasang bedil buluh di luar halaman mereka. Sebelum itu, mereka perlu menyediakan buluh, minyak tanah dan mancis. Selepas semuanya tersedia dan siap sedia untuk diletupkan, maka kedengaranlah bunyi letupan bising sana sini bagi menandakan perayaan tersebut. Bunyi itu akan saling sahut-menyahut di antara satu dengan yang lain dan cuba berlawan bunyi siapakah yang paling kuat dan nyaring. Suasana sebegitu memang sangat dinantikan-nantikan pada ketika itu kerana ia hanya disambut setahun sekali. Manakala bagi kaum bapa pula, mereka akan sibuk memasang tanglung di luar rumah mereka, kerana jikalau tiada tanglung atau pelita dipasang, maka tidak berserilah kawasan rumah bagi mereka.
Tanglung pada masa dahulu diperbuat daripada buluh kering yang diraut rata, kertas nipis dan ambuyat sebagai pelekat kertas. Kemudian sebatang lilin diletakkan di dalamnya agar bercahaya di waktu malam. Selain tanglung, pelita jenis botol bekas minuman turut digunakan sebagai cucul bagi menyerikan pantaran rumah mereka, khususnya bagi mereka yang tinggal di Kampong Ayer pada zaman itu.
