SAN FRANCISCO – Sekitar sejuta orang penduduk dan pengunjung membanjiri kawasan jalan utama dan beberapa kawasan lorong sempit di sekitar Chinatown sewaktu acara perarakan karnival sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) yang diadakan baru-baru ini.
Acara karnival dan perarakan tersebut telah menampilkan pelbagai aksi tarian yang sangat menakjubkan seperti Golden Dragon yang memiliki ukuran keluasan 88 meter, pakaian tradisi yang sangat cantik, letupan bunga api berwarna-warni dan persembahan daripada pelajar-pelajar sekolah di San Francisco.
Perarakan San Francisco ini dipercayai telah mula dianjurkan sejak 1860-an di mana ia menjadi medan pendidikan kepada warisan budaya yang memang diamalkan oleh penduduk tempatan yang berbangsa Cina.
Tahun Baharu Cina sememangnya merupakan salah satu majlis keraian terbesar di Asia dan ia juga merupakan salah satu acara perayaan yang disambut di Amerika Utara.
Secara purata, acara perarakan tersebut ditaja secara sepenuhnya oleh Southwest Airlines, salah sebuah syarikat penerbangan utama AS yang beribu pejabat di Dallas, Texas dan juga merupakan sebuah syarikat penerbangan kos rendah terbesar di dunia.


Penonton yang meluangkan masa untuk menonton acara perarakan di Chinatown kedua terbesar di AS selepas bandar raya New York itu adalah terdiri daripada peringkat kanak-kanak sehingga warga emas.
Keceriaan jelas terpancar di wajah mereka tatkala menonton pelbagai persembahan menarik seperti lagu rakyat dengan iringan muzik.
Malah, lebih menarik lagi apabila mereka turut berpeluang untuk menikmati pelbagai hidangan tradisi Cina.
“Perarakan hampir bermula,” laung seorang kanak-kanak yang duduk di atas bahu ayahnya dan memperlihatkan rasa keterujaan tatkala acara perarakan tersebut dimulakan.
Rasa teruja dalam diri kanak-kanak itu setentunya terus meningkat tatkala kostum kartun mula melintasi di hadapannya dan salah seorang dari peserta turut memberikan isyarat ‘high five’.
Bapa kanak-kanak tersebut, Wayne Bruce menjelaskan bahawa ia setentunya merupakan satu peluang yang cukup berharga untuk meluangkan masa bersama keluarga bagi menyaksikan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina di Chinatown.
“Persembahan seni mempertahankan diri yang ditonjolkan oleh kanak-kanak dalam menzahirkan adegan Monkey King itu memang sangat menakjubkan,” jelas Bruce, 28, kepada Xinhua.
“Saya dapat merasakan anak saya juga berasa sangat terhibur untuk menyaksikan persembahan Monkey King yang ditonjolkan,” jelasnya.
Seorang pelajar perempuan yang mengikuti pengajian di sebuah sekolah berdekatan dengan Chinatown menjelaskan bahawa dirinya sangat terpesona tatkala melihat persembahan tarian naga yang sangat besar dan cukup menghiburkan itu.
“Persembahan tersebut memang sangat hebat,” jelasnya.
“Ayah saya merupakan seorang warga AS dan ibu saya pula berasal dari China. Mereka turut menjelaskan bahawa tarian naga ini memiliki simboliknya yang tersendiri bagi orang Cina dan setentunya ia adalah satu pengalaman untuk menyaksikannya secara lebih dekat,” tambahnya.
Perayaan Tahun Baharu Cina itu telah mula diraikan pada 16 Februari lalu dan beberapa jalan utama di Chinatown telah ditutup baru-baru ini bagi memberikan laluan kepada sambutan perarakan itu. – Xinhua