Oleh Nurdiyanah R. –
Meskipun bulan Syawal sudah memasuki hari ketujuh, kemeriahan Hari Raya masih terasa dengan kunjungan ke rumah keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan. Sambutan hari lebaran digunakan sebaiknya oleh umat Islam di negara ini sebagai masa untuk berkumpul bersama keluarga, baik yang dekat mahupun yang jauh.
Keluarga Allahyarham Abang Abdul Ghani bin Abang Ahmad dan Allahyarhamah Hajah Mariam binti Menudin adalah antara keluarga besar yang mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Keluarga Abang Abdul Ghani di Dewan Kemasyarakatan Tutong, baru-baru ini.
Seramai 200 ahli keluarga besar berkenaan berkumpul dengan objektif untuk mengeratkan persaudaraan dalam kalangan ahli keluarga berkenaan.
Acara yang amat dinanti-nantikan itu juga dihasratkan untuk memudahkan ahli keluarga berziarah antara satu sama yang lain bagi mengeratkan lagi ikatan saudara yang jauh mahu pun yang dekat.
JALINAN KEKELUARGAAN MAKIN UTUH
Selaku wakil keluarga besar berkenaan, Awang Ahmadiah bin Haji Suhaili dalam ucapannya turut merakamkan kesyukuran atas rezeki sambutan perhimpunan keluarga besar yang buat julung kalinya berjaya diadakan.
“Semangat kekeluargaan, kekitaan dan keakraban dalam kalangan keluarga Allahyarham Abang Abdul Ghani dan Allahyarhamah Hajah Mariam secara tidak langsung melahirkan sikap gotong-royong, kerjasama, saling hormat-menghormati, bertolak ansur dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti keluarga,” ujarnya.
Majlis turut diisikan dengan sesi penyampaian cenderahati dan hadiah bertuah sambil menikmati juadah Hari Raya.
Selain itu, acara juga disemarakkan dengan persembahan-persembahan menarik seperti dendangan lagu-lagu raya daripada ahli-ahli keluarga serta pelbagai aktiviti bagi kanak-kanak dan dewasa sebelum berakhir dengan sesi bergambar ramai untuk merakamkan kenangan manis suasana Hari Raya.
JANGAN DILUPA WARISAN BUDAYA BANGSA
Sesungguhnya acara sambutan Hari Raya sedemikian agak berbeza berbanding sambutan Hari Raya yang diadakan di negara ini sejak puluhan tahun dahulu di mana tradisi berkunjung ke rumah-rumah ahli keluarga terdekat amat sinonim dengan sambutan Hari Raya.
Namun disebabkan keterbatasan masa dan sebagainya, sambutan Hari Raya keluarga di dewan atau hotel memudahkan lagi ahli keluarga berjumpa antara satu sama lain di satu tempat dan masa yang sama.
Pandangan berkenaan turut dikongsikan oleh salah seorang ahli keluarga tersebut, Awangku Mohamad Zaki bin Pengiran Haji Kasharan.
“Sejak beberapa dekad, cara sambutan raya telah berubah apabila banyak tradisi menjadi moden.
“Walau bagaimanapun, ia bukan seperti kata pepatah membuang yang lama dan meraikan yang baharu, sebaliknya, tradisi baharu yang wujud ini membawa unsur-unsur lama tetapi disesuaikan dengan perubahan zaman,” jelasnya.
Awangku Mohamad Zaki juga menekankan bahawa meskipun menerima kemodenan, adalah penting untuk mengekalkan tradisi dan warisan lama kerana ia mengingatkan kita tentang asal-usul yang menjadikan sesuatu budaya itu istimewa.
Ujar beliau lagi, berhari raya bersama sepupu dan ahli keluarga pada tahun ini terasa berbeza berbanding sebelumnya, kerana sebelum ini mereka perlu membuat persediaan mengemas dan membuat persiapan di rumah sehari sebelum raya bagi menerima kunjungan sanak saudara yang akan datang ke rumah. Pada masa yang sama mereka juga biasanya akan menetapkan satu atau dua hari yang dirasakan sesuai untuk mengadakan acara rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Oleh itu pada tahun ini, acara rumah terbuka keluarga besar ini jelas memudahkan kami untuk bertegur sapa dan berjumpa dengan setiap ahli keluarga yang terlibat.
“Jika sebelumnya, sudah semestinya tidak semua ahli keluarga yang dijemput dapat bertandang ke rumah semasa majlis rumah terbuka, acara seumpama ini jelas memudahkan semua ahli keluarga kami untuk bersilaturahim antara satu sama lain di satu tempat dan hari yang sama”, tambahnya dengan nada kesyukuran.