Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemiskinan lemahkan keupayaan rakyat Afghanistan

    KABUL – “Harga melambung tinggi, kadar kemiskinan tinggi dan saya satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga, mempunyai teksi dan merayau di jalanan dari subuh hingga senja untuk menyara keluarga,” kata salah seorang penduduk Kabul, Wahidullah.

    Mempunyai 22 ahli keluarga dan tinggal di perkampungan Shiwaki di pinggir bandar Kabul, ibu kota Afghanistan, Wahidullah berkata kemiskinan telah melemahkan keupayaannya untuk membeli kayu atau arang batu bagi memastikan rumahnya hangat pada musim sejuk.

    “Harga satu tan arang batu ialah 6,000 afghanis hingga 6,500 afghanis tahun lepas tetapi tahun ini berharga 16,000 afghanis, yang tidak dapat dimiliki oleh orang biasa,” kata Wahidullah kepada Xinhua di sebuah kedai arang batu.

    Penjual kayu, Rahim Ashna mengesahkan kenaikan harga itu, berkata harga satu Khirwar (560kg) kayu adalah 4,000 hingga 5,000 afghani tahun lepas tetapi pada masa ini ia berharga 6,000 hingga 7,000 afghani.

    Afghanistan yang dilanda perang dan kemelesetan ekonomi telah mengalami kemiskinan dan kadar pengangguran yang tinggi sejak pemindahan tentera pakatan yang diketuai Amerika Syarikat pada Ogos 2021.

    Gambar menunjukkan rakyat Afghanistan tawar-menawar dengan penjual di salah sebuah kedai kayu di Kabul, Afghanistan. – Xinhua
    Seorang pekerja memotong kayu untuk dijual di salah sebuah kedai kayu di Kabul. – Xinhua
    Gambar menunjukkan dua orang kanak-kanak dari keluarga miskin. – Xinhua
    Seorang warga Afghanistan menjual kayu di kedainya di Kabul. – Xinhua

    Sekatan AS ke atas Afghanistan dan pengharaman pemotongan pokok secara tidak sah oleh kerajaan sementara pimpinan Taliban telah menyebabkan kenaikan harga kayu dan bahan api, kata Ashna kepada Xinhua di kedai menjual kayu miliknya.

    Kadar pengangguran yang tinggi dan kemiskinan yang melampau telah menyebabkan pembelian tenaga yang lebih sedikit oleh rakyat Afghanistan, kata Ashna.

    “Perniagaan kami menguntungkan sejak beberapa tahun lalu tetapi sejak dikenakan sekatan perniagaan itu merosot,” kata Ashan.

    Berikutan pengunduran tentera pimpinan AS dari negara Asia itu, aset Afghanistan bernilai lebih AS$9 bilion dibekukan oleh AS sebagai sebahagian daripada sekatannya terhadap pemerintah baharu negara yang dilanda perang itu.

    Agensi bantuan berkata lebih 24 juta daripada 35 juta penduduk Afghanistan menghadapi masalah kekurangan makanan yang teruk, meminta bantuan makanan menjelang musim sejuk.

    Tinggal di kem pelarian sementara Taimani di Kabul, Mohammad Nasir, 50, yang kelihatan lebih tua daripada usia sebenar, percaya bahawa tinggal di Afghanistan sebenarnya bukanlah ‘kehidupan’. Sebaliknya, ia adalah untuk kekal ‘hidup’.

    Seperti beribu-ribu orang miskin yang tinggal di kem pelarian, Nasir dan 15 ahli keluarganya terpaksa membakar sampah untuk memanaskan badan semasa musim sejuk, yang menyebabkan bau rumahnya membusuk.

    “Saya bersama dua anak bekerja dari subuh hingga senja di pasar dengan membawa kereta sorong, juga menjual beg membeli-belah, tetapi pendapatan kami adalah 110 hingga 120 afghani setiap hari, yang cukup hanya untuk membeli tepung dan tidak lebih,” Nasir memberitahu Xinhua. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda