Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen 3K bermanfaat – Chong

    KUCHING, 30 Jan – Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran (3K) mampu mengurangkan kejadian kebakaran yang boleh mendatangkan kecederaan, kematian serta kerugian harta benda.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata orang awam sering beranggapan bahawa kebakaran tidak akan berlaku kepada diri mereka dan keluarga.

    “Tetapi jika dilihat secara ‘Mikro’ kerugian disebabkan kebakaran akan memberikan impak yang negatif secara tidak langsung terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

    “Para pelabur asing akan menilai sejauh mana tahap keselamatan kebakaran yang diwujudkan oleh sesebuah negara sebelum mereka datang untuk membuat pelaburan.

    Jadi, jika mereka memilih untuk melabur di negara lain, maka negara kita akan kehilangan pendapatan,” katanya dalam teks ucapan yang dibaca oleh Anggota Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

    Berdasarkan statistik tahun lepas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Sarawak menerima 15,914 panggilan kecemasan dengan 5,807 daripadanya adalah panggilan penyelamat, 2,388 panggilan kebakaran, 7,703 panggilan khidmat khas dan panggilan palsu sebanyak 16 panggilan.

    Panggilan kecemasan yang melibatkan operasi penyelamatan pula meningkat sebanyak 698 berbanding 5,109 pada tahun 2017.

    Sementara itu, Pengarah JBPM Sarawak, Khiruddin Drahman berkata adalah penting kesedaran keselamatan kebakaran dipupuk dari rumah dan seawal usia kanak-kanak, justeru, JBPM melaksanakan program pendidikan keselamatan kebakaran seperti 3K di peringkat tadika serta Kadet Bomba di peringkat sekolah menengah. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda