Friday, February 14, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen ajak belia sertai aktiviti masjid

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Bagi mengajak lebih ramai belia dan beliawanis menyertai aktiviti takmir masjid, satu kempen kemasukan belia masjid dilancarkan di Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Bolkiah ‘A’ kelmarin.

    Kempen dilancarkan oleh Ketua Kampung Bolkiah ‘A’, Awang Shahminan bin Haji Mohd Zain yang turut berkesudian menerima senarai nama kumpulan belia masjid berdaftar bagi tahun 2017 dan menyampaikan sijil dan borang pendaftaran kepada ketua belia sesi 2018-2019 bagi setiap masjid di Daerah Brunei dan Muara.

    Terdahulu sebelum majlis ini diadakan, satu taklimat mengenai belia masjid telah disampaikan oleh Ketua Unit Belia, Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Yushli bin Haji Ashli.

    Kempen kemasukan belia masjid anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid ini akan dilaratkan ke daerah-daerah lain mengikut jadual dan perubahan. Ia bertujuan memperkenalkan sebuah organisasi atau perkumpulan belia masjid yang diharap dapat melahirkan generasi harapan agama, bangsa dan negara.

    Salah seorang belia menerima sijil penyertaan.

    Ia juga bertujuan mewujudkan generasi berwawasan dan dapat bersaing secara sihat bagi menghidupkan dan menyemarakkan lagi syiar Islam dalam kehidupan para belia.

    Ia juga diharap dapat melahirkan belia dan beliawanis yang suka kepada masjid, melatih dan mengajar mereka bergaul dalam masyarakat sekali gus mendisiplinkan diri mereka agar menjadi insan beriman dan berilmu, berakhlak mulia dan dapat dijadikan contoh kepada generasi akan datang.

    Pada majlis itu juga, satu taklimat mengenai belia masjid telah disampaikan oleh Haji Yushli.

    Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat dan bacaan Doa Selamat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda