Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Sebanyak 33 pain darah berjaya dikumpulkan semasa kempen derma darah anjuran Bahagian Sains, Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) dan Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini.
Kempen yang berlangsung di Dewan Serbaguna SR YSHHB itu diadakan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77.
Pengetua SR YSHHB, Hajah Mariam binti Haji Ladi telah melancarkan kempen berkenaan yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran akan keperluan pemindahan darah yang selamat.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberi motivasi dan menggalakkan lebih ramai orang menderma darah bagi membantu menyelamatkan nyawa dan secara tidak langsung terus kekal sihat.


