Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 DIS – Seramai 72 orang telah mengambil bahagian dalam kempen derma darah anjuran McDonald’s Brunei sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), kelmarin.
Kempen berlangsung di McDonald’s Jerudong Pandu Lalu dari pukul 9 pagi hingga 3 petang.
Pada suku pertama 2023, kempen itu berjaya mengumpul 177 pain darah dan 122 pain pada suku ketiga, yang mana secara keseluruhan, sebanyak 371 pain darah telah berjaya dikumpulkan sepanjang tahun ini dan ia mempamerkan komitmen masyarakat terhadap tujuan penting kempen berkenaan.

Sejajar dengan fokus CSR McDonald’s Brunei terhadap kesihatan masyarakat, inisiatif itu menyokong Tabung Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dalam membantu menambah bekalan darah yang diperlukan pada masa ini.
Usaha kerjasama itu juga mencerminkan dedikasi McDonald’s untuk memberi impak positif terhadap sumber penjagaan kesihatan yang penting.
McDonald’s Brunei mengucapkan terima kasih kepada semua peserta dan rakan kongsi atas kemurahan hati mereka, menyumbang kepada komuniti yang lebih sihat dan berdaya tahan.

