Oleh Daniel Lim
BELAIT, 29 MEI – Sebagai sebahagian daripada usaha bersama untuk membantu menambah bekalan darah bagi mereka yang memerlukannya, Bahagian The Art of Living (AoL), Kelab Panaga, Seria akan mengadakan kempen menderma darah pada 14 Jun depan.
Dijalankan secara kolaborasi antara AoL Brunei dan Kelab Panaga serta Pusat Kesihatan Panaga, kempen berkenaan akan dilaksanakan di Bilik Ibnu Sina, perpustakaan di Pusat Kesihatan Panaga bermula 9 pagi hingga 1 petang.
Bagi memastikan kesihatan mereka yang menderma darah menjadi keutamaan, kempen berkenaan juga akan menyaksikan pemeriksaan perubatan di mana para penderma diarahkan untuk menggunakan penutup mulut dan hidung selaras dengan nasihat yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan. Penutup mulut dan hidung pakai buang akan disediakan bagi semua penderma.
Mereka yang ingin menderma semasa kempen itu boleh membuat pendaftaran lebih awal yang mana slot masa akan ditetapkan bagi memastikan penjarakan sosial. AoL Brunei merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan pelbagai inisiatif dan program bukan sahaja untuk membantu masyarakat sekeliling malah membantu mengubah kehidupan menjadi lebih baik.
