BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Darussalam Pilotage Services Sdn Bhd (DPS) telah menganjurkan kempen derma darah buat pertama kalinya di ibu pejabat syarikat di Serasa, sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2024. Bertemakan Terima Kasih Penderma Darah, kempen itu dianjurkan dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).
Acara tersebut melibatkan penyertaan lebih daripada 40 individu, termasuk kakitangan DPS, pihak berkepentingan dan para pelanggan. Kempen itu di ketuai oleh Pemangku Pengurus Am DPS, Awang Nor Ariffin bin Haji Mohd Ali. Antara objektif kempen itu untuk memupuk budaya tanggungjawab sosial dan sokongan komuniti dalam kalangan kakitangan serta masyarakat umum.
Dalam tempoh tiga jam, kempen itu berjaya mengumpul 38 pain darah, sekali gus menunjukkan komitmen DPS dalam menyumbang kepada masyarakat. DPS berhasrat untuk menjadikan kempen derma darah sebagai acara tahunan, sejajar dengan usaha tanggungjawab sosial korporat syarikat.
