Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Sebanyak 27 pain darah telah berjaya dikumpulkan dalam kempen derma darah anjuran Ya-Nur Restaurant & Catering, hari ini.
Kempen yang diadakan di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dari pukul 1:30 petang hingga 4 petang itu disertai oleh pegawai dan kakitangan syarikat tersebut.
Penganjuran kempen berkenaan adalah bagi menyokong Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS dalam menambah bekalan darah bagi penerima yang memerlukan lebih-lebih lagi semasa situasi kecemasan.
Ia juga diharap dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk sama-sama menderma darah pada bila-bila masa serta menanamkan sifat beramal jariah dan tanggungjawab sosial.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/P7-B_14072023.jpg)